Category Archives: belajar

Peluang sambung belajar dalam bidang perakaunan selepas SPM

Pelajar saya bertanyakan soalan yang relevan dengan tajuk pos ini. Bagaimana nak sambung belajar dalam bidang perakaunan selepas tamat SPM 2013. Saya pernah menulis tentang perkara ini beberapa tahun lepas tetapi saya dah buang pos asal. Di kesempatan ini, suka saya berkongsi pandangan saya berkenaannya.

Pelajar lepasan SPM masa kini digalakkan menceburi bidang profesional di peringkat awal lagi. Tak lama lagi keputusan SPM 2013 akan diumumkan. Selalunya dalam bulan Mac. Pasti akan ada yang bergembira dengan keputusan keseluruhan SPM yang cemerlang, tak kurang juga yang akan mengalami pencapaian kurang memberangsangkan. Dalam hal pos ini, saya membayangkan wajah gembira yang teramat sangat kerana keputusan SPM bagi subjek Prinsip Perakaunan mendapat gred A+. Tetapi gred A- atau A, mahupun gred B dan B+ tetap dianggap cemerlang.

Ada beberapa laluan utama yang boleh dipilih oleh pelajar lepasan SPM meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan atau yang berkaitan dengan perakaunan.

  1. Sambung terus ke tingkatan 6 – keutamaan kelas yang ada menawarkan subjek Perakaunan STPM dan/atau Ekonomi STPM
  2. sambung terus ke Matrikulasi KPM aliran Perakaunan
  3. Sambung terus ke program asasi (foundation) perakaunan di IPTA atau IPTS
  4. Mengikuti program Diploma Perakaunan di IPTA atau IPTS – selalunya bagi tempoh 3 tahun.
  5. Terus ke program profesional Perakaunan ACCA di IPTA/IPTS tertentu – contohnya PolyTech MARA ada menawarkan program profesional ACCA, selain dari program diploma perakaunan.
  6. terus belajar peringkat LCCI sahaja sambil bekerja – selalunya ada pusat latihan dan peperiksaan LCCI boleh didapati di bandar-bandar utama di Malaysia. Untuk lokasi terperinci, rujuk sesawang LCCI Asia-Malaysia.

Kelebihan laluan no.5 di atas, ia setanding dengan pemegang ijazah perakaunan, malahan lebih baik lagi. Tetapi ianya tertakluk kepada kesinambungan anda menjadi ahli pertubuhan perakaunan itu dan dianugerahkan lesen perakaunan menurut Akta Akauntan 1967. Jika anda terlucut kelayakan keahlian, maka status akauntan ACCA anda turut terjejas. Dalam hal ini, maka memperoleh ijazah perakaunan lebih selamat dan menjamin kekekalan status sebagai profesional accountant.

Dalam hal Public Accountant, tidak menghairankan ada yang bermula dengan belajar di peringkat Ijazah perakaunan sebelum turut mendapatkan kelayakan ACCA untuk tahap lebih tinggi dan untuk pengiktirafan tertinggi.

Laluan no.1 hingga no.4 bolehlah dianggap laluan transit, kerana secara teknikal anda belum lagi memegang ijazah perakaunan. Selepas tamat pengajian STPM, matrikulasi, asasi atau diploma, barulah anda boleh memohon sambung belajar ke peringkat sarjana muda perakaunan/ijazah perakaunan/bacelor perakaunan (nama-nama degree itu mengikut IPTA masing-masing).

Apa yang perlu diperingkatkan ialah kepada pelajar yang mengikuti program tingkatan 6. Awak sebaiknya belajar subjek EKONOMI dan Perakaunan dan mendapat gred STPM minimum B+. Lagi tinggi lagi baik. Ianya menjadi jaminan anda ditawarkan ke ijazah perakaunan. Subjek-subjek aliran sastera tidak dapat menggantikan kedua-dua subjek tersebut atau mempunyai nilai kukuh menggantikannya. Sebagai contoh, ada IPTA boleh menerima subjek Geografi STPM sebagai syarat kelayakan gantian untuk subjek  Ekonomi atau Perakaunan asalkan mempunyai gred B ke atas. Tetapi dari segi persaingan, janganlah hairan jika lebih ramai pelajar lepasan STPM yang sambung belajar ke bidang perakaunan adalah yang mengambil subjek ekonomi dan perakaunan. Dalam kebanyakan kes, subjek seperti geografi diguna sebagai syarat kelayakan mengganti perakaunan tetapi subjek ekonomi mesti diambil oleh pelajar STPM tersebut. Permohonan hanya akan dilayan jika syarat dipenuhi.

Begitulah sedikit sebanyak, pandangan, maklumat dan cadangan saya sebagai panduan pelajar lepasan SPM untuk memutuskan apakah hala tuju mereka seterusnya. Semoga berjaya.

Mengajar Silibus baru Prinsip Perakaunan SPM Best

Buku teks baharu subjek Prinsip Perakaunan hanya tiba dalam bulan Disember 2010 (setakat yang saya dimaklumkan) dan tak sempat diedarkan terlebih awal kepada pelajar-pelajar Prinsip Perakaunan tahun lalu (tingkatan empat). Sebagai guru, saya tercari-cari buku tersebut di kedai-kedai buku tetapi hampa. Cadangan nak membaca terlebih dahulu buku tersebut sewaktu cuti sekolah terkubur.

Akhirnya pada minggu pertama, lebih tepat lagi hari rabu, 5 Januari 2011, dengan campur tangan ketua panitia prinsip perakaunan, maka dapatlah buku teks baharu tersebut dipinjamkan kepada pelajar tingkatan 5 yang mengambil Prinsip Perakaunan SPM 2011 ini. Buku lama dikembalikan dan digantikan dengan buku baharu tersebut.

Setakat ke hari ini, saya telah mengajar selesai mengajar bab 8, yang melibatkan kemahiran penyediaan Penyata Penyesuaian Bank dan Belanjawan Tunai berserta Varian. Dalam bab ini, topik pengiraan varian adalah yang pengisian terbaru. Tetapi ia masih mudah kerana ia hanya melibatkan pengiraan perbezaan antara angka belanjawan dengan angka sebenar yang sedia diberikan. Selepas itu penetapan sama ada ia adalah positif/memuaskan ataupun negatif/tidak memuaskan. Pentafsiran atau penerangan lanjutan tidak diperlukan. Menarik!

Bab 9 di mana akan dimulai minggu hadapan melibatkan bab baru keseluruhannya iaitu Perakaunan untuk Penggajian. Ini merupakan bab yang menyeronokkan. Guru mestilah membaca dahulu keseluruhan bab ini. Saya sendiri menggalakkan rakan-rakan guru supaya mencuba menjawab soalan-soalan tersebut terlebih dahulu agar tidak kalut di dalam kelas nanti.

Apa yang bestnya mengajar silibus baru Prinsip Perakaunan ni? Kepada saya apa-apa yang berkaitan perakaunan memang best. Apatah lagi dengan peningkatan taraf dan pengemaskinian silibus dan buku teks baharu yang memperbetulkan semua kekilafan lama. Contohnya, Peruntukan susut nilai adalah kekhilafan yang terpakai bertahun-tahun lamanya sedangkan jelas dalam penggunaan sebenar perakaunan, istilah yang diguna pakai ialah SUSUT NILAI TERKUMPUL. Mulai tahun 2011, istilah inilah yang akan dipakai. Barulah best! Barulah boleh mengguna pakai ilmu yang diperolehi di universiti dahulu, tanpa keraguan.

Sebab itulah saya katakan silibus baru kali ini BEST!!!

Tetapi nak kongsi ‘RALAT’ di sini. Soalan Kajian Kes Bab 8 ada kesilapan cetakan yang amat ketara. Perhatikan soalan tersebut. Bulan yang disoal tidak sama dengan maklumat (jadual) yang diberikan. Begitu juga perkataan ‘Jumlah Tunai’, pada pandangan saya, sepatutnya diganti dengan perkataan ‘JUALAN TUNAI’, sesuai dengan pengisian topik belanjawan tunai dan varian yang direka untuk tahap SPM.

Sekadar berkongsi kegembiraan. Memang Best!

Bagaimana melanjutkan pelajaran selepas SPM

Nah, bagaimana keputusan SPM anda keseluruhannya? Baguslah. Ini bermakna anda pelajar bijak dan sudah diiktiraf melalui keputusan yang baru lalu. Jadi sekarang apakah perancangan anda? Kepada sesiapa yang nak melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi maka sifu bolehlah cadangkan laluan ini:

Permohonan masuk ke peringkat ijazah di luar negara dan biasiswa berprestij JPA dan MARA – tarikh tutup 18 Mac 2008. Tapi hanya calon yang cemerlang 1A atau 2A semua subjek.

Permohonan masuk ke peringkat diploma atau asasi undang-undang di IPTA

Permohonan masuk ke peringkat diploma di politeknik (nota:mesti menggunakan pelayar Internet Explorer 6 ke atas, tapi kenapa ya sedangkan IE kurang selamat berbanding Firefox, fikir-fikir-fikir)

Permohonan masuk ke matrikulasi KPM

Permohonan masuk ke program Asasi Sains Universiti Malaya (termasuk program persediaan khas kemasukan Universiti Jepun) – permohonan melalui MOHE tidak seperti dulu melalui bahagian matrikulasi KPM

Permohonan masuk automatik bagi yang layak ke tingkatan enam di sekolah-sekolah menengah (ke peringkat STPM) – semakan akan dibuka kemudian di pautan ini.
Rujukan maklumat syarat masuk T6 spt dalam web JPJohor (diterimapakai seluruh negara).

Permohonan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) , dikenali juga dengan singkatan PISMP Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon yang berjaya akan meneruskan pengajian di peringkat Ijazah perguruan di IPTA ditetapkan. Keutamaan pelajar cemerlang yang berminat. (edit 140308-0745, terima kasih En. Bilik Sebelah di atas peringatan itu)

Tambahan (21/3/08) : Permohonan mengikuti Program Pra-Diploma UiTM (2 jenis: pra-diploma sains dan pra-diploma perdagangan) – tarikh tutup 25 Mac 2008. Baca juga syarat minimum. Tetapi terbuka hanya kepada calon bumiputera. Bagi pra-perdagangan, keutamaan ialah calon dari Sabah dan Sarawak sahaja. [Terima kasih Dyanadileme, sifu langsung terlupa pasal peluang ini]

Jika berkesanggupan dari segi kewangan dan persetujuan keluarga, pelajar juga boleh memohon masuk ke kolej dan universiti swasta (IPTS) yang banyak di Malaysia. Antaranya ialah Multimedia College atau Multimedia University (MMU) milik Telekom Malaysia, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Inti College, dan sebagainya.

Ketika memohon melalui lamanweb MOHE, anda juga mestilah membaca semua fail PDF yang disediakan oleh universiti masing-masing sebelum membuat keputusan apakah penawaran program baik dan sesuai dengan anda. Anda juga mesti menyedari bahawan permohonan itu mempunyai kategori A, B, C dan D. Pastikan anda mengetahui anda dalam kategori apa. Masalah kewangan? Sifu galakkan anda semua memohon biasiswa JPA bagi pemohon IPT dalam negara. Baca dengan teliti semua syarat dan keperluan permohonan. Jangan sekali-kali malu memohon. Usaha dahulu, fikirkan kemudian sama ada diterima atau tidak. Ada rezeki adalah biasiswa itu. Tapi yang pastinya , hanya calon terbaik akan ditawarkan biasiswa oleh JPA. Selain dari itu, pelajar juga masih boleh memohon pinjaman PTPTN selagi memenuhi syarat ditetapkan. Sifu ada terjumpa lamanweb tentang biasiswa di Malaysia, http://www.malaysia-scholarship.com/ . Anda digalakkan melawat lamanweb tersebut tetapi sifu tidak dapat bertanggungjawab jika maklumat diberikan di dalam lamanweb itu bertentangan dengan maklumat rasmi. Gunakan maklumat di malaysia-scholarship.com dengan hemat dan kebijaksanaan pelajar sendiri. Use at your own discretion.

Diharap pos ini akan dapat membantu anda.