Monthly Archives: Februari 2008

Tarikh baru peperiksaan UPSR, PMR, SPM, SPMU dan STAM

Perubahan tarikh telah diumumkan di Putrajaya hari ini bagi semua peperiksaan awam kendalian LPM.

UPSR – tarikh baru 9, 10, dan 11 September 2008 [Muatturun Jadual Rasmi dari MOE/KPM-dah selesai];

PMR – tarikh baru 13, 14, 15, 16 dan 17 Oktober 2008 [Muatturun Jadual Rasmi PMR dari MOE/KPM];

SPM – tarikh baru 12 November hingga 6 Disember 2008 [Muatturun Jadual Rasmi SPM dari MOE/KPM];

SPMU – 24 dan 25 Jun 2008 (SPM Ulangan)-dah selesai;

STAM – tarikh baru 20, 21, 22, 28 dan 29 Oktober 2008 [Muatturun Jadual Rasmi STAM dari MOE/KPM];

STPM kekal iaitu 12 November hingga 4 Disember 2008 [Muatturun Jadual Rasmi STPM dari MOE/KPM].

NOTA : Semua maklumat di atas dikemas kini pada 21 September 2008.

Maklumat ini dipetik dari berita terkini Utusan Online.

Kemas kini, 22 Feb 2008 : Berita penuh Utusan Online di sini.

Kemas kini, 11 Mac 2008 : Takwim Peperiksaan oleh KPM di sini.

KEMAS KINI : TARIKH BARU DIUMUMKAN SEKIAN KALINYA DI SINI.

Prinsip Perakaunan

Prinsip Perakaunan Tingkatan Empat pada asasnya memberi peluang kepada pelajar mempelajari simpan kira. Bersesuaian dengan keperluan industri, pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran prinsip perakaunan tingkatan empat diandaikan mampu menyediakan akaun-akaun di dalam buku catatan pertama, diposkan ke lejar, membuat beberapa pelarasan rutin tahunan, dan menyediakan laporan kewangan. Jika para pelajar menghayati proses pembelajaran dalam tingkatan empat, tidak mustahil pelajar ini mampu menjadi kerani akaun yang cekap.

Prinsip Perakaunan Tingkatan Lima pula tertumpu kepada beberapa kemahiran asas berkaitan dengan perakaunan kewangan. Sebagai contoh belanjawan tunai didedahkan dalam tahun ini. Selain dari itu, pelajar juga didedahkan penyediaan akaun perniagaan perkongsian. Ini membolehkan pelajar, jika bekerja kelak, dapat memahami tugas mereka sebagai kerani atau pembantu pegawai akaun dengan lebih baik lagi dalam perniagaan perkongsian seperti firma guaman, firma perniagaan lain, dan sebagainya. Walaupun pendedahan tentang kemahiran itu tidaklah diberikan sepenuhnya berbanding jika pelajar mengambil LCCI secara langsung, tetapi sifu percaya ianya memadai bagi pekerja baru itu membiasakan diri dengan kerjaya berkaitan perakaunan.

Oleh itu, sifu ingin mengajak pelajar-pelajar yang sedang berada di sekolah dan mengambil subjek ini sebagai mata pelajaran elektif pilihan mereka, belajarlah prinsip perakaunan dengan jiwa terbuka, seronok, peka, rajin melakukan latih tubi dan semua nilai-nilai positif pelajar. Prinsip perakaunan bukan hanya sebagai satu mata pelajaran, tetapi ia juga satu kemahiran langsung yang diajar di sekolah secara percuma.

Pembelajaran yang seronok boleh dicipta sendiri oleh pelajar, atau bersama-sama dengan rakan dan guru anda sendiri. Sesiapa yang melawati blog prinsip perakaunan ini sudah tentu mempunyai keazaman yang setanding dengan wawasan diri kalian. Ia seumpama projek elearning atau epembelajaran (e-pembelajaran).

Kepada bakal calon SPM 2008, ketahuilah penguasaan kemahiran dalam tingkatan empat sangat relevan dan anda masih perlu menguasainya. Selamat maju jaya.

Cadangan Jawapan Prinsip Perakaunan SPM 2007

Skema Pemarkahan Tak Rasmi Prinsip Perakaunan SPM 2007 (Accounting Principles unofficial SPM marking schemes of 2007)

Mungkin ramai tak perasan kewujudan pos terdahulu. Lebih 1000 muatturun untuk cadangan jawapan soalan percubaan MRSM 2007, tetapi hanya kurang 100 muatturun cadangan jawapan SPM sebenar. Mungkin sebab ia dah jauh tertinggal. Oleh itu sifu ambil kesempatan menyebutkannya semula.

Jika anda mencari-cari jawapan ‘tak rasmi’ prinsip perakaunan SPM tahun 2007, sila MUATTURUN melalui pos ini. Ia dibuat sejak 30 November 2007 lagi. Siapa yang patut mendapatkannya? Mungkin pelajar tingkatan lima sekarang yang sudah membeli koleksi soalan SPM 2006 yang lepas. Daripada membeli set baru, lebih baik anda dapatkan soalan asli dari bekas pelajar 2007 dan muatturun cadangan jawapan sifu dari blog ini. Rakan guru pun sudah tentu boleh, tapi minta maaf banyak-banyak jika jawapan saya tidak mencapai ekpektasi rakan-rakan semua. Al-maklum, perkara ‘tak rasmi’ dah tentu tak akan menepati skema pemarkahan SPM sebenar. Jawapan yang disediakan saya yakin tepat, tetapi kaedah mengagih markah mungkin berbeza, saya tak tau.

Okay, diharap pos kedua ini lebih membantu pencarian anda semua

SELAMAT TAHUN BAHARU CINA

Sifu mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kenalan sifu, baik secara individu mahupun melalui blog ini. Kepada semua pengunjung blog berketurunan Cina terutamanya, Gong Xi Fa Cai.

Kepada bekas pelajar (SPM2007 dan tahun sebelumnya) sifu seperti Chin Mui Shing, Chong Chau Shung, Tan Kar Yuan, Goh Chew Ping dan beberapa orang lain yang sifu dah lupa namanya, ucapan ini juga ditujukan buat anda semua. Juga pelajar sekarang seperti Fung Chit Siung, Wei Kee, dan lain-lain.

Syarat Masuk Ijazah Perakaunan di IPTA

Nak tau apakah subjek terpenting dan gred sesuai untuk memohon masuk ke IPTA dalam bidang Perakaunan? Anda pelajar lepasan STPM atau Diploma atau STAM atau matrikulasi? Di sini dipermudahkan pencarian anda.

Pelajar lepasan SPM juga boleh menggunakan maklumat ini untuk merancang perjalanan hidup anda seterusnya. Sekurang-kurangnya anda dapat mengetahui laluan mana yang ingin diambil, masuk ke tingkatan enam, terus ke matrikulasi atau melanjutkan pelajaran ke program diploma di IPTA/S termasuk politeknik di seluruh negara yang diiktiraf.

Di sini jawapannya. (Telah dikemaskini dengan kelayakan Matrikulasi dan STAM)

Mencipta Minat belajar Prinsip Perakaunan SPM

Adakah anda dipaksa belajar Prinsip Perakaunan (PAK)? Ada pelajar cemerlang dalam PMR? Jika kedua-dua jawapannya YA, maka anda rugi! Pelajar cemerlang PMR sudah tentu diberi peluang untuk menjadi lebih cemerlang. Seperti norma pendidikan sedia ada, pelajar cemerlang akan ditawarkan masuk ke kelas sains tulen, seterusnya ditawarkan masuk ke kelas sastera ikhtisas di mana PAK adalah salah satu subjek yang ditawarkan untuk SPM, dan begitulah seterusnya. Anda masih rasa dipaksa? Okaylah, memang dipaksa, sama seperti pelajar lain pun, contohnya pelajar aliran sains tulen. Mereka juga dipaksa belajar subjek yang susah. Lagipun ramai orang boleh cemerlang dalam SPM pun walaupun tak ambil subjek killer. Ini tidak, anda dibebankan dengan subjek sukar sehingga dirasakan ‘tak adil’ kerana anda terpaksa belajar lebih keras berbanding pelajar bukan aliran sains tulen dan sastera ikhtisas.

Ops, nanti dulu. Anda sebenarnya tidak rugi, tidak dibebankan, malah sebaliknya. Anda adalah golongan yang dirasakan bijak dan mampu menguasai subjek susah. Saya pasti anda tahu kemampuan anda itu. Ya anda sememangnya mempunyai kemahiran belajar, atau daya ingatan yang kuat, atau penumpuan yang tinggi, atau kesemuanya sekali. Sebab itu, anda berjaya mengharungi PMR dengan jujur dan meraih kejayaan yang terpuji. So, salahkah pihak sekolah mengiktiraf anda sebagai kumpulan bijak dan mampu menempuh subjek killer?

Malah, anda seharusnya berasa berbangga dengan pengiktirafan ini. Tinggal lagi sekarang bagaimana anda mengatasi ‘kekejutan budaya’ memasuki tingkatan empat. Jika dipaksapun, gunakan peluang ini kerana ia adalah antara peluang terbaik untuk anda. Gantikan perasaan dipaksa dengan perasaan ingin belajar benda baru.

Mana ada budak yang sejak lahir dah tahu bagaimana menunggang basikal. Semuanya melalui proses pembelajaran yang berterusan, tetapi bermula dengan keberanian dan kerelaan. Kebanyakan kanak-kanak yang kini mahir berbasikal dahulunya dipaksa oleh ibu bapa mereka untuk mencuba. Ada yang berani ada yang penakut. Itu sudah lumrah alam. Percubaan pertama jatuh, tak dapat imbangkan diri. Nak quit? Tak boleh, ibu bapa yang prihatin akan merangsang anaknya untuk terus mencuba. Lama-kelamaan akan bertambah pandai. Kisah selanjutnya, anda dah boleh agak dah.

Sama seperti belajar PAK, sememangnya dipaksa diperingkat awal. Tapi jangan jadikan ia alasan tak nak belajar. Kami guru menawarkan kepada anda pengalaman yang berguna. Tak faham, nanti guru marah. Laa, memanglah tak faham, dah inilah pertama kali pelajar akan belajar PAK. Tak pernah kita ajar pelajar sedari Tingkatan Satu. Inilah pertama kali, so kalau tak faham tu perkara biasa. Jadi macam mana nak atasi perasaan dipaksa?

Cipta MINAT awak.

M=Main peranan I=Intelek N=Nasihat A=Akur T=Teknik

  1. Main peranan sebagai pelajar baik, jujur dan sopan santun. Belajar dan patuhi ajaran dan nasihat guru seperti juga anda belajar subjek lain. Lupakan perasaan dipaksa.
  2. Intelek awak adalah kunci kejayaan subjek ini, insyaallah. Gunakan kepandaian awak, bukannya perasaan amarah awak. Anggap saya intelek anda perlu dikembangkan dan dicabar dari semasa ke semasa.
  3. Nasihat dicari dari guru-guru pakar seperti guru kaunseling, guru mengajar dan ibu bapa sendiri, terutama kaitannya dengan kerjaya masa depan. Tahu tak, perakaunan adalah salah satu bidang profesional tertua di dunia?
  4. Akur kepada disiplin dalam perakaunan. Teknik mudah catatan bergu adalah disiplin. Catatan debit dan kredit adalah disiplin. Semuanya peraturan yang dipakai di seluruh dunia, lebih baik jangan dibantah. Ajar diri supaya akur kepada ketetapan ini, selebihnya menjadi lebih mudah dan menjadi logik.
  5. Teknik belajar yang betul hendaklah diteruskan, dan mungkin dengan sedikit pengubahsuaian yang perlu. Ingat cara dan tempoh masa belajar BM tak akan sama seperti cara dan tempoh masa belajar Matematik. Juga tidak akan sama seperti cara dan tempoh masa belajar bagi subjek Prinsip Perakaunan ini.

Last sekali, minat sebenar awak, rangsangkan dengan pelbagai cara yang boleh, sama ada melalui pergaulan sihat dengan guru mengajar dan rakan sebaya yang juga ‘enjoy’ belajar PAK. Sifu dah tau apa bezanya ‘seronok belajar’ dengan ‘minat belajar’. Anda pun akan tau kelak.

Kesimpulannya, cipta minat untuk belajar Prinsip Perakaunan. Awak takkan kerugian mempelajarinya. Minat adalah pemula kepada keseronokan belajar dan satu dari langkah mencipta kecemerlangan akademik buat diri anda sendiri. Minat umpama gula di dalam minuman. Tanpa gula, manalah manisnya sirap ros di atas meja anda itu. Jika anda tidak mahu rugi seperti sifu sebut sebelum ini, jangan biarkan anda ‘dipaksa’, jadikan anda pelajar ‘berminat’ dan cemerlang!

I know you can do it!