Monthly Archives: Mac 2009

Makna Gred LCCI dalam Slip Keputusan SPM 2008

Sifu dapat mencari sedikit maklumat berkaitan dengan maksud gred LCCI yang tertera dalam Slip Keputusan SPM 2008.

Sumber sebenar : kenyataan Akhbar LCCI Asia bertarikh 12 Mei 2009 (salinan dalam format fail PDF).

Di sini, sifu ringkaskan dan terjemahkan untuk kemudahan pelajar

Kelayakan untuk SIjil LCCI dinyatakan sejelas-jelasnya melalui kod yang disediakan dalam lajur LCCI dalam slip keputusan SPM.

Kod

Gred

Anugerah boleh dituntut

1

Lulus dengan Cemerlang

Tahap 2 Simpan kira dan Akaun

2

Lulus dengan Kepujian

Tahap 2 Simpan kira dan Akaun

3

Lulus

Tahap 2 Simpan kira dan Akaun

4

Lulus dengan Cemerlang

Tahap 2 Simpan kira dan Akaun (Bahasa Melayu)

5

Lulus dengan Kepujian

Tahap 2 Simpan kira dan Akaun (Bahasa Melayu)

6

Lulus

Tahap 2 Simpan kira dan Akaun (Bahasa Melayu)

Mana-mana pelajar yang ingin memohon mendapatkan sijil masing-masing hendaklah menyerahkan permohonan mereka melalui sekolah masing-masing dalam tempoh 1 bulan selepas keputusan SPM dikeluarkan. Selepas tempoh 1 bulan tersebut, iaitu mulai 12 April 2009 dan seterusnya, pelajar-pelajar masih boleh menyerahkan permohonan mereka secara terus ke pejabat LCCI International Qualifications Malaysia atau Pusat-pusat Latihan LCCI yang disahkan sepertimana tersenarai dalam edaran atau dalam laman sesawang LCCI (www.lcciasia.com)

Gitulah lebih kurang petikan kenyataan akhbar yang sifu terjemahkan.

Kelayakan kod 4, 5 dan 6 ada kena mengena dengan syarat kelulusan English 1119. Jika anda tak capai gred sepatutnya dalam BI, maka anda cuma layak Sijil tahap 2 dengan kenyataan tambahan dalam kurungan itu.

Melalui blog CIkgu Narzuki, http://perakaunan.wordpress.com, JPN Kelantan telah pun mengambil usaha mengumpulkan senarai nama pelajar yang inginkan sijil LCCI tersebut berserta yuran RM25 setiap seorang. Pelajar SPM negeri Kelantan bolehlah rujuk blog Cikgu Narzuki tentang hal tersebut.

Sifu belum maklum JPN lain-lain bagaimana arahannya. Apa-apapun sifu harap, semuanya berjalan lancar.

Keputusan SPM dan STAM pada 12 Mac 2009, STPM 10 MAC 2009

Kini telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, bahawa pelajar-pelajar lepasan SPM, STAM dan STPM boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing minggu hadapan.

  • SPM dan STAM pada 12 Mac 2009
  • STPM pula akan dikeluarkan lebih awal, iaitu pada 10 Mac 2009.

Berikut adalah petikan akhbar Berita Harian bertarikh 6 Mac 2009:

Keputusan SPM, STAM 2008 12 Mac

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 akan diumumkan pada 12 Mac ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam kenyataan semalam, berkata calon yang menduduki kedua-dua peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi hari berkenaan.

Calon persendirian pula, katanya, akan mendapat keputusan mereka melalui pos, yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

“Seramai 442,936 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2008 dan daripada jumlah itu 388,079 atau 87.6 peratus adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran; calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan tertentu 16,019 (3.6 peratus); calon sekolah swasta 10,331 (2.3 peratus) dan calon persendirian 28,507 (6.5 peratus),” katanya.

Alimuddin berkata, sebanyak 3,939 pusat peperiksaan disediakan untuk peperiksaan itu di seluruh negara. Peperiksaan bertulis SPM 2008 dijalankan dari 11 November hingga 5 Disember 2008.

Bagi peperiksaan STAM pula, katanya, seramai 6,240 calon mendaftar untuk mendudukinya, dengan 886 atau 13.9 peratus adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan; calon sekolah agama tadbir kerajaan negeri 4,219 (67.6 peratus); calon sekolah agama rakyat dan swasta 788 (12.6 peratus) dan 367 (5.9 peratus) calon persendirian.

Sementara itu, keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 akan diumumkan pada 10 Mac ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan menyebut, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari manakala calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.

Di samping itu, katanya calon boleh menyemak keputusan mereka melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM (JARAK) (Nombor kad pengenalan) dan hantar ke 39003.

Selain itu, katanya keputusan juga boleh disemak melalui sistem dalam talian dengan melayari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada hari berkenaan.

Katanya, analisis pengumuman keputusan peperiksaan berkenaan akan diadakan pada 10 Mac jam 11.30 pagi di MPM.

Seramai 53,638 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 46,319 atau 86.35 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 2,189 (4.08 peratus) calon sekolah swasta dan 5,130 (9.56 peratus) calon persendirian. – Bernama.

Selamat berjaya.

Skema Jawapan Cadangan Tak Rasmi Prinsip Perakaunan SPM 2008

PERINGATAN : TELAH SIAP SIRI LENGKAP SKEMA DISEDIAKAN AKAN DATANG

Sifu telah pun membuat draf jawapan untuk soalan 2, kertas 2 Prinsip Perakaunan SPM 2008. Jika tiada aral melintang, akan diedarkan melalui blog ini untuk perkongsian bestari dengan guru-guru dan pelajar-pelajar SPM2009. Sebenarnya sifu baru sahaja mendapatkan soalan itu dari pelajar T5 sekarang ini. Itu pun selepas teringat mengenainya apabila ditanya oleh seorang pelajar yang melawat blog ini bulan lepas.

Sifu memandang serius terhadap tahap kesukaran soalan 2 dalam kertas 2 tersebut. Sifu pernah dimaklumkan oleh rakan guru, Cg Hamidon dan Cg Narzuki tentang potensi soalan sebegini diuji sejak 2007 lagi. Perbincangan dan kursus-kursus telah dijalankan di beberapa buah negeri berkenaan perubahan struktur soalan sejak tahun tersebut dan berterusan ke tahun 2008. Malangnya sifu tak pernah menghadiri mana-mana kursus LPM atau jabatan, apatah lagi membaca surat jemputan. Oleh itu sifu terpaksalah bergantung sepenuhnya kepada perkongsian maklumat yang diperoleh dari kedua-dua rakan itu. Seperti kata pepatah, “tak ada rotan, akar pun berguna juga”. Walaupun tak dapat mendengar secara ‘live’ ayat-ayat pegawai LPM, ayat-ayat emel dari rakan guru seperti Cg Hamidon dan Cg Narzuki pun sudah memadai untuk sifu membuat beberapa andaian dan kesimpulan.

Dan akhirnya semua persoalan dah terjawab. Tanpa diduga oleh orang seperti saya, soalan 2 telah diuji dan ia menjelaskan apakah format atau tahap kesukaran yang diharapkan oleh pihak LCCI/ACCA yang perlu dimasukkan ke dalam soalan Prinsip Perakaunan SPM. Kini bukan rahsia lagi, maka perlulah tindakan susulan dari guru seperti saya untuk menyediakan anak didik SPM 2009. Menyediakan jawapan SPM 2009 adalah salah satu cara yang mungkin boleh membantu mereka.

Sesiapa dikalangan guru yang sebenarnya telah mendahului saya, yang telah menyediakan jawapan lengkap kertas Prinsip Perakaunan SPM 2008, alangkah seronoknya jika anda turut berkongsi dengan kami, dan saya tak perlulah menyediakan skrip jawapan cadangan dengan sepenuhnya. Oleh itu sebarang sokongan dari pihak guru-guru lain atau pelajar amatlah dialu-alukan. hantarkan jawapan anda ke emel sifu, blogsifu2b at yahoo.com. Sudah tentulah penghargaaan adalah kepada diri anda.

PS : Jika dah siap, Link untuk jawpan itu akan diperoleh di dalam pos ini kelak.

TAMBAHAN : 11 MEI 2009

Nampak gayanya belum ada sesiapapun yang menyediakan jawapan cadangan SPM 2008 dan paparkan di interet. Maka sifu teruskan hajat untuk menyebarkannya di blog ini.

Sila muatturun fail ZIP dari link ini (muatnaik 3/9/09)sifu2b-akaun-suggestedanswers-spm2008v1_2.zip (>5.6 mb).
Makluman ringkas : Salinan di atas adalah untuk link terbaru yang telah dibuat pembetulan dalam jawapan bagi soalan 3, Akaun Semasa perkongsian (jawapan cadangan atas kertas kajang). Jawapan atas kertas Buku Tunai adalah betul.

Untuk makluman semua terutama yang telah berjaya memuatturun set jawapan sifu terebut, ini adalah kali pertama sifu menyediakan jawapan dalam bentuk tulisan tangan sepenuhnya. Sudah menjadi kebiasaan sifu untuk mengajar dan menasihatkan (atau mengarahkan) pelajar untuk menyediakan jawapan yang mudah dibaca dan disusun kemas. Malahan sifu juga tetapkan bagaimana nak menyediakan set jawapan untuk jurnal dan lejar. Sejak 3 tahun lepas, sifu telahpun memilih beberapa sampel soalan format KERTAS 2 -SOALAN 1,  dan turut menyediakan SAMPEL JAWAPAN bertulis tangan yang tersimpan dalam satu fail khas untuk pelajar pinjam pada bila-bila masa. Namun, setiap kali menyediakan skema jawapan penuh untuk soalan percubaan sekolah, MRSM mahupun kertas peperiksaan lain, sudah menjadi kebiasaan kepada sifu untuk menyediakannya dalam format spreadsheet, kerana sifu sememangnya mahir dengan MSExcel sejak dahulu lagi.

Memikirkan bagaimana membantu menyediakan pelajar untuk SPM 2009 November ini, maka sifu terfikir apakah bahan-bahan tambahan yang perlu disediakan. Merancang menyediakan jawapan SPM 2008 adalah sebahagian darinya. Sebab itu sifu sudahpun menyediakan jawapan S2 dan S3 untuk mempelajari kaedah pemarkahan ala-LCCI. Sifu abaikan soalan 1 dan soalan 6 kerana masa yang kurang sesuai. Apabila nak release di blog ini, sifu teragak-agak untuk mengeluarkan bahan yang hanya separuh jalan. Lebih baik lagi jika pelajar beli buku Koleksi Soalan SPM Sebenar. Tetapi setelah membelinya dan meninjau jawapan yang disediakan, sifu agak kecewa. Justeru itu, sifu mula merancang untuk menghabiskan jawapan sepenuhnya dalam cuti sekolah ini tetapi dengan nilai tambah. Sifu merancang menyediakan jawapan dalam bentuk  bertulis tangan sepenuhnya dengan gaya persembahan skrip jawapan yang sebaik-baiknya dan yang pada pandangan sifu akan disukai oleh pemeriksa kertas. Ini termasuklah bagaimana helaian jawapan tambahan berupa gerak kerja sepatutnya disediakan. Sudah tentulah gerak kerja TIDAK WAJIB disediakan kerana arahan tidak diberikan. Maka sudah menjadi rutin, coretan-coretan kasar selalu dibuat oleh pelajar di kertas lain dan dibuang atau ditinggalkan di bawah meja selepas peperiksaan. Tetapi jika disediakan dengan kemas, pelajar seharusnya mengetahui sekarang bahawa ia boleh dihantar bersama-sama dengan kertas jawapan dan ia akan memudahkan pemeriksa memberi markah ‘ANGKA SENDIRI atau Own Figure (OF)’.

Sifu selalu menjual slogan ini JAWAPAN MINIMUM UNTUK MARKAH MAKSIMUM. Maksud perkataan itu tergambar dalam jawapan Soalan 1 terutama di bahagian lejar, di samping soalan lain juga.

Sifu sediakan jawapan sedemikian rupa, sebenarnya untuk anak didik di sekolah sebagai salah satu strategi membantu memantapkan kualiti jawapan mereka, tetapi sebarkan awal melalui internet demi manfaat bersama.

Sebarang kesilapan, jika ada, maka sifu mohon maaf banyak-banyak. Maklumkan di dalam komen di bawah dan sifu akan usahakan untuk membuat pindaan seberapa segera yang boleh.

SELAMAT BERJAYA.

Oh ya, bagi sesiapa yang tertanya-tanya bagaimana sifu sediakan jawapan tersebut, sebenarnya sifu memiliki laptop tablet PC HP Pavilion tx2032au. Sebenarnya sifu masih menulis menggunakan komputer. Bukannya menyombong atau membangga diri, sebaliknya sekadar memaklumkan manfaat teknologi kepada guru seperti saya.