Monthly Archives: September 2014

Bumiputera dan India hanyalah ‘angka pengimbang’ Akauntan di Malaysia

Berdasarkan statistik 2011 (sumber Utusan, 13 Dis 2012), Akauntan Bertauliah di Malaysia adalah seperti berikut:

Jumlah 31971 orang. Kaum Cina 22070 orang, 8350 orang dari kaum bumiputera dan 1551 orang dari kaum India. Ini bermakna, 69.03% adalah Akauntan Cina, 26.12%  adalah Akauntan Bumiputera dan 4.85% adalah Akauntan berketurunan India.

Ada banyak kenyataan umum tentang perlunya Malaysia memperoleh Akauntan Profesional dan usaha-usaha ke arah merealisasikannya. Contohnya kenyataan PM kita yang dipetik pada 18 Jun 2014. Adakah ini bermakna, kerajaan Malaysia sanggup berbelanja besar membiayai pelajar lepasan sekolah belajar ke bidang perakaunan profesional? Tetapi saya meragui semua orang yang memohon akan mendapat pembiayaan penuh. Meritokrasi berperanan dalam menentukan siapa yang berhak. Selalunya bukan bumiputera yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti SPM dan STPM. (Itu adalah dilema bangsa bumiputera kita, bukannya salah sistem meritokrasi, jangan salah faham).

Memang benar, usaha di peringkat kerajaan telah dilaksanakan untuk membantu meningkatkan penglibatan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam bidang perakaunan melalui program profesional, contohnya melalui penglibatan agensi pendidikan di bawah MARA. Namun demikian, kos pembiayaan tersebut, lebih mahal jika dibiayai sendiri. Sebagai perbandingan, kos membiayai seorang pelajar untuk program profesional perakaunan boleh digunakan untuk membiayai 2-3 orang pelajar untuk program Ijazah Perakaunan di IPTA.

Jika benar kenyataan yang dibuat oleh Majlis Dekan-Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, saya berpendapat kadar peratusan penglibatan kaum Bumiputera dalam bidang perakaunan dan menjadi Akauntan Bertauliah akan semakin mengecut atau jika meningkat pada kadar amat perlahan, dengan mengambilkira kemampuan ekonomi kaum itu sendiri dalam membiayai pendidikan perakaunan yang menelan belanja 2-4 kali ganda berbanding mengikuti program Ijazah Perakaunan di IPTA. Mengikut pendapat Pengerusi Majlis Dekan-dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, kos mengikuti program profesional menjangkau RM30000-RM40000 (nilai kasar berdasarkan kadar pertukaran wang sekarang).

Maka malanglah kepada pelajar yang berminat ke bidang perakaunan tetapi gagal mendapatkan pembiayaan kerajaan atau agensi kerajaan. kalaupun berjaya masuk ke ijazah perakaunan, mereka tetap akan diwajibkan berbelanja besar (kali kedua?) selepas tamat pengajian ijazah hanya semata-mata untuk menjadi akauntan.

Sebagai guru perakaunan yang memegang ijazah perakaunan, saya melihat perkembangan ini dalam dua aspek, aspek positif dan aspek negatif. Tetapi sengaja tidak ditulis di sini. Cuma yang merungsingkan ialah bagaimana untuk memikat pelajar untuk menceburi bidang perakaunan dengan memulakan langkah pertama dengan mengikuti kelas Prinsip Perakaunan di tingkatan empat dan lima dengan penuh kesungguhan. Pelajar bumiputera (walau tak semuanya) sudah terkenal dengan semangat-semangat seperti “pantang kalah kalau dah gagal, lebih baik jangan kalah langsung (mengelak/jangan turut serta)” atau falsafah “aku gagal bukan salah aku, sebab aku kena paksa belajar”.

Jika keadaan ini berterusan, penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perakaunan dan menjadi Akauntan Bertauliah di Malaysia akan terjejas atau terlalu perlahan, bermula di peringkat akar umbi lagi. Phobia matematik dan nombor di kalangan bumiputera lagilah umpama penyakit keturunan, maka makinlah tidak ramai bakat ‘sihat’ yang mampu ke bidang perakaunan.

Ramai cikgu menyedari peluang mencipta kerjaya dalam bidang perakaunan, sama ada akauntan awam atau pengamal perakaunan disektor swasta atau sektor awam (kerajaan), tetapi selalunya gagal menyampaikannya secara efektif kepada pelajar Prinsip Perakaunan. Kesannya persepsi pelajar terhadap subjek Prinsip Perakaunan tidak lebih sebagai subjek elektif menjadi-jadi. Elektif bermakan pilihan, bukannya kemahuan. Lebih-lebih lagi apabila ramai pelajar bumiputera yang belajar di sekolah kerajaan yang lebih rela ‘gagal dan tidak bersalah’ serta menyalahkan guru sebagai punca kegagalan.

Akhirnya, bilangan akauntan dari kaum bumiputera dan India umpama angka pengimbang sehinggalah ke tahun 2020. Apa usaha kita sekarang?

 

Nota : Akauntan adalah individu yang menceburi bidang perakaunan sepenuh masa, atau dikenali juga sebagai pengamal perakaunan.

Berdasarkan rekod yang diumumkan kepada pihak media (Kosmo), sehingga  Jun 2013 terdapat 29,624 akauntan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Malaysia mengunjurkan Akauntan Bertauliah seramai 60000 menjelang 2020.

 

Usaha Pindaan Akta Akauntan 1967 memberi Implikasi Implisit Mengekang kaum Bumiputera ke Bidang Perakaunan?

Ini adalah petikan akhbar yang membawa kepada kerisauan saya.

Pihak berkepentingan didakwa cuba pinda Akta Akauntan 1967

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Hasrat kerajaan menghasilkan lebih ramai golongan profesional Melayu dan bumiputera dalam bidang perakaunan dikhuatiri terjejas disebabkan tindakan Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang dikatakan cuba meminda Akta Akauntan 1967.

Pindaan itu akan menyebabkan taraf Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lebih rendah berbanding yang ditawarkan badan profesional di luar negara.

Pengerusi Majlis Dekan-Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, Profesor Dr. Kamil Md. Idris mendakwa, usaha tersebut turut merendahkan martabat universiti tempatan yang selama ini mematuhi dengan ketat setiap peraturan dikeluarkan Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) dan Standard Pendidikan Antarabangsa (IES).

Dakwa beliau, penyediaan pelan tindakan khas atau ‘blue print’ bagi meminda akta tersebut bermula selepas badan-badan profesional termasuk dari luar negara yang menjadi anggota MIA dan berorientasikan keuntungan mungkin terjejas akibat ramai pelajar memilih untuk masuk IPTA kerana yurannya yang murah.

Beliau mendakwa, beberapa Ahli Lembaga Pengarah MIA yang berlatar belakangkan kelulusan badan profesional berkenaan telah mengabaikan pandangan daripada wakil IPTA yang mempunyai hak bersuara dalam setiap dasar berhubung pendidikan perakaunan negara.

“Organisasi profesional perakaunan ini rata-rata berteraskan perniagaan. Maksudnya, sesiapa yang mengambil peperiksaan dengan mereka dikenakan yuran yang tinggi dan perlu dibayar mengikut nilai mata wang pound sterling atau kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 untuk menduduki peperiksaan mereka bergantung kepada tahap masing-masing.

“Sedangkan di IPTA, bayaran tahunan kursus perakaunan cuma di antara RM2,000 ke RM3,000 selepas menerima subsidi sehingga RM16,000.

“Maksudnya, ada kemungkinan ini satu strategi perniagaan dengan menggunakan keahlian dalam MIA untuk membantu organisasi profesional. Amat menyedihkan apabila Jawatankuasa Pendidikan dalam MIA yang sepatutnya ada lima wakil IPTA telah dikeluarkan ketika mereka menghasilkan pelan tindakan khas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamil yang juga Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sekiranya usaha MIA itu berjaya, taraf kelulusan siswazah akauntan IPTA berada di kelas kedua dan sesiapa yang masih berhajat untuk menjadi akauntan bertauliah terpaksa mengambil peperiksaan dengan badan-badan profesional berkenaan dengan membayar kos yang terlalu tinggi.

Tegasnya, siswazah IPTA yang paling terkesan dengan penggubalan akta itu adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menjadi gedung melahirkan akauntan bertauliah dengan jumlah graduan perakaunan sebanyak 1,600 hingga 1,800 orang pada setiap tahun.

“Akta itu adalah kawalan untuk menjadi akauntan bertauliah mesti menjadi ahli MIA. Untuk menjadi ahli kena lulus dengan universiti tempatan atau badan profesional seperti termaktub dalam jadual dalam Akta Akauntan 1967 iaitu senarai universiti dan organisasi yang mendapat pengiktirafan.

“Apa yang berlaku sekarang mereka tidak mahu lagi menggunakan jadual itu dan guna syarat baharu. Maksudnya disebabkan taraf kelayakan di IPTA menjadi rendah, graduan kita terpaksa menempuh dua fasa peperiksaan yang selama ini tidak ada yang turut bererti IPTA seolah-olah tidak ada guna langsung,” tegasnya.

Tambah Kamil, meskipun pindaan akta berkenaan belum berjaya, namun pihak-pihak berkepentingan telah mencadangkannya kepada menteri berkaitan sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita juga tidak menghalang sebarang usaha Kementerian Pendidikan tetapi apa yang kerajaan tidak tahu adalah proses itu dibuat secara halus dengan menurunkan taraf ijazah kita,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140911/dn_08/Pihak-berkepentingan-didakwa-cuba-pinda-Akta-Akauntan-1967#ixzz3D6ggGusi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Walaupun kecil pada pandangan orang luar bidang perakaunan, tetapi ia adalah isu besar kepada dalam jangka panjang.