Category Archives: Umum

Youtube Channel Subjek Prinsip Perakaunan Terbaharu

Salam semua.

Hanya sekadar nak maklumkan yang saya dah mula semula menghasilkan bahan video dalam saluran digital Youtube.

Jika anda mencari-cari video prinsip perakaunan oleh sifu2b, silalah layari channel ini.

Cikgu Rithuwan ‘Sifu2b’ Prinsip Akaun

Channel ini adalah saluran baharu yang diwujudkan dalam tahun 2020 ini, lebih tepat lagi dalam bulan Julai 2020, setelah sekolah dibenar buka semula.

Banyak perkara yang dialami sepanjang PKP yang baru lalu, dan perlu direnungi oleh semua orang termasuklah saya.

Pendek cerita, saya pun gagahkan diri, turut serta memulakan inisiatif bersama-sama beribu orang guru yang baru mula (ada yang mula semula) menghasilkan bahan PDP digital di bawah platform Youtube, mengikut keupayaan masing-masing. Saya dan beribu orang guru telah mengikut inisiatif e-didik dan Akademi Youtuber Guru Malaysia bersama-sama belajar dan meningkatkan ilmu tentang

Jemputlah ke channel baru saya dan sudikanlah subscribe dan like mana-mana video yang saya sudah muatnaik. InsyaAllah, idea2 lain sedang diperhalusi untuk dijadikan bahan video.

Misalnya, video ini (sila klik), menyentuh secara ringkas dan cepat tentang perbezaan Akaun Belum Terima dan Akaun Belum Bayar.

Atau video simulasi perniagaan ini, yang mengajak murid bermain permainan android untuk memahamkan murid proses catatan perniagaan. Tetapi video ini disiarkan semasa arahan PDPJJ (PKP-Jun 2020) di akaun youtube lama saya, tapi masih boleh diakses.

Sekian dulu kita jumpa lagi, insyaAllah.

Persekolahan Pasca PKP (PKPP)

Salam.

Sekolah akan mula dibuka pada 24hb Jun 2020. Kerajaan memutuskan untuk hanya membenarkan pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam (prau) sahaja yang hadir ke sekolah. Manakala semua guru meneruskan tugas mengajar di sekolah, dengan hadir mengikut arahan yang diberikan oleh pentadbiran sekolah.

Apa yang penting ialah pematuhan kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang telah dicadangkan oleh KKM untuk kegunaan pihak sekolah.

Namun, apa yang merisaukan saya secara peribadi ialah apakah kaedah terbaik mengelak dari terkena atau mengenakan (dijangkiti atau menjangkiti) virus COVID-19 jika berlaku di sekolah.

Guru-guru dan pelajar, pastinya bukan ‘frontliner’ yang berpengalaman mengendalikan kes jangkitan dalam jumlah yang ramai.

Apa-apapun, kita semua tunggu dan lihat.

SYARAT KEMASUKAN KE BACELOR PERAKAUNAN DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) – UPDATE

SYARAT KEMASUKAN KE BACELOR PERAKAUNAN DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)

SYARAT AM UNIVERSITI

LEPASAN MATRIKULASI ATAU ASASI

Mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu dan lulus dalam mata pelajaran Sejarah mulai tahun 2013. Kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu kertas Julai diambil kira;

DAN

Mempunyai Asasi Sains Pertanian UPM/Matrikulasi KPM/Asasi Sains UM/Asasi UiTM dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00;

DAN

Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET) mengikut tempoh sah laku.

LEPASAN STPM – ALIRAN SAINS ATAU SASTERA

Mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu dan lulus dalam mata pelajaran Sejarah mulai tahun 2013. Kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu kertas Julai diambil kira;

DAN

Mempunyai Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dengan Gred C (NGMP 2.00) dalam tiga (3) mata pelajaran termasuk Pengajian Am;

DAN

Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET) mengikut tempoh sah laku.

SYARAT KHAS PROGRAM

ALIRAN SAINS DAN SASTERA – LEPASAN STPM

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (NGMP 2.33) pada peringkat STPM dalam satu (1) daripada mata pelajaran berikut:

  • Mathematics (M)/Mathematics (T);
  • Ekonomi;
  • Perakaunan;
  • Geografi;
  • Pengajian Perniagaan;

KOMEN SIFU: Pemohon hendaklah memastikan kombinasi pakej subjek PraU/STPM mempunyai sekurang-kurangnya 1 dari subjek tersenarai di atas. Cadangan saya, kuasai Ekonomi sebagai pengganti Perakaunan, kerana tak semua sekolah menawarkan Perakaunan STPM.

dan

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C/6C pada peringkat SPM dalam mata pelajaran berikut:

  • Mathematics;

atau

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) pada peringkat STPM dalam mata pelajaran Mathematics (M)/Mathematics (T);

dan

Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 2 (Band 2) dalam Malaysian University English Test (MUET).

LEPASAN MATRIKULASI/ASASI

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ (2.33) pada peringkat Matrikulasi/Asasi dalam satu (1) daripada mata pelajaran berikut:

  • Mathematics;
  • Ekonomi;
  • Akaun;
  • Pengurusan Perniagaan;

dan

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C/6C pada peringkat SPM dalam mata pelajaran berikut:

  • Mathematics;

atau

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C (2.00) pada peringkat Matrikulasi/Asasi dalam mata pelajaran Mathematics;

dan

Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 2 (Band 2) dalam Malaysian University English Test (MUET).

LEPASAN DIPLOMA

Memiliki Diploma dalam bidang yang sesuai atau kelayakan lain yang diiktiraf oleh Senat UPM;

dan

Mendapat sekurang-kurangnya Gred C/6C pada peringkat SPM dalam mata pelajaran berikut:

  • Mathematics;

dan

Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 2 (Band 2) dalam Malaysian University English Test (MUET).

 

Semoga bermanfaat.

 

 

Sumber : http://www.esmp.upm.edu.my/promosi/

 

 

 

 

 

Selamat melalui Peperiksaan Percubaan SPM 2017

Musim menduduki Percubaan SPM 2017 sudah bermula.

Hari ini, anak didik saya menduduki kertas 2 bermula 6:50 pagi hingga 9:20 pagi, manakala Kertas 1 bermula 12:30 hingga 1:45 petang.

Dari makluman rakan-rakan guru lain, kebanyakan sekolah juga sedang menjalankan minggu-minggu peperiksaan percubaan SPM. Semoga semuanya sukses. Amin.

Ringkasan Analisis Agihan Soalan Percubaan SPM 2016 dan SPM Sebenar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, tanpa disedari, saya dah 10 tahun menulis di dalam blog ini, Sifu Anda Menulis. Itupun diperingkatkan oleh WordPress sendiri bahawa dah lama saya menapak di server mereka. Syukur.

Baik, musim percubaan SPM sudah berlalu dan saya percaya debaran menduduki SPM semakin meningkat di kalangan murid/calon SPM dan juga guru-guru.

Untuk membantu murid-murid menelaah pelajaran Prinsip Perakaunan yang akan diduduki November ini, maka saya sediakan analisis ringkas :

  1. Percubaan SPM subjek Prinsip Perakaunan tahun 2016 – Kertas 2 sahaja
  2. SPM Sebenar bagi tahun 2011 hingga 2015 – Kertas 1 dan Kertas 2.

Anda boleh memuatturun dari sini dalam bentuk fail PDF.KLIK SINI

sifu2b-analisis-trialspm-actualspm_2016_1

sifu2b-analisis-trialspm-actualspm_2016_2

sifu2b-analisis-trialspm-actualspm_2016_3

HARI GURU 2016

SELAMAT HARI GURU

TEMA HARI GURU 2016 :: Guru Pembina Negara Bangsa

Kenapa Sambutan Hari Guru di Malaysia jatuh pada tanggal 16 Mei setiap tahun?

Berikut adalah petikan maklumat seperti dipaparkan di wikipedia.

“This date was chosen because on the same day in 1956, the Federal Legislative Council of the Federation of Malaya endorsed the Razak Report, one of four reports of the Education Committee regarding education in Malaysia. The document, known as the Razak Report after Tun Abdul Razak who was Education Minister at the time, has been the basis of education in Malaysia ever since. Although it is not an official school holiday, celebrations are usually held on 16 May, or earlier if it falls on a Saturday or Sunday.”

Terjemahannya :

Tarikh tersebut dipilih kerana pada hari yang sama pada tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Persekutuan Tanah Melayu telah menerima Laporan Razak, salah satu dari empat laporan Jawatankuasa Pelajaran berkaitan pendidikan di Malaysia. Dokumen itu, dikenali sebagai Laporan Razak, bersempena nama Tun Abdul Razak, Menteri Pelajaran pada masa itu, dijadikan dasar pelajaran di Malaysia sejak itu. Walaupun ia bukan cuti sekolah rasmi, sambutannya diadakan pada 16 Mei, atau lebih awal jika jatuh pada hari Sabtu atau Ahad.

 

Keterangan tentang Hari Guru juga boleh didapat di laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia di sini.

 

Saya dapati sambutan rasmi Hari Guru di Malaysia difokuskan kepada golongan yang mengajar sebagai kerjaya mereka.

Guru bukanlah hanya guru di sekolah dan pensyarah/pengajar di IPT. Golongan pengajar seperti guru mengaji (al-Quran dan hadis) di masjid-masjid atau surau-surau, jurulatih-jurulatih kemahiran, guru-guru sekolah pondok, dan individu yang mengajar satu atau lebih ilmu kepada individu atau sekumpulan tentang apa-apa ilmu yang bermanfaat. Ini termasuklah guru pertama kita semua, iaitu ibu kita.

 

 

Apa hukumnya menyambut HARI GURU? Ada tak fatwa rasmi Majlis Fatwa di negara kita?

Saya tak terjumpa fatwa khusus dari Majlis Fatwa kerana e-fatwa dalam selenggaraan. Walau bagaimanapun, jawapan UAI, ianya harus, seperti kenyataannya di dalam video ini. Wallahu’alam.

Namun kita (guru-guru) dinasihatkan, memastikan sambutan itu tidak bertentangan dengan Islam. Semoga Allah memberkati kerjaya guru ini dan melindungi kita dari perkara-perkara yang syubahat mahupun jelas haram yang membatalkan pahala dan amal soleh kita. Harapan kita, guru-guru Islam, penyampaian ilmu melalui kerjaya ini, tertunai dan diterima oleh Allah sebagai salah satu yang dibawa ke alam barzakh, ‘ilmu yang bermanfaat’.

Ya Allah, terimalah amalan keduniaan kami sebagai usaha akhirat kami. Jauhkan diri kami, dan hati kami, dari terpesong jauh dari matlamat kejayaan untuk hari akhirat.

Sudahkah kita guru-guru juga sediakan Headcount amalan sendiri? SWOT sendiri? Bah, marilah sama-sama kita. InsyaAllah, guru tatap guru, iaitu guru yang berilmu dan beriman. Saya percaya, itulah harapan kita semua. Kita amin-kan sama-sama. Amin.

Bumiputera dan India hanyalah ‘angka pengimbang’ Akauntan di Malaysia

Berdasarkan statistik 2011 (sumber Utusan, 13 Dis 2012), Akauntan Bertauliah di Malaysia adalah seperti berikut:

Jumlah 31971 orang. Kaum Cina 22070 orang, 8350 orang dari kaum bumiputera dan 1551 orang dari kaum India. Ini bermakna, 69.03% adalah Akauntan Cina, 26.12%  adalah Akauntan Bumiputera dan 4.85% adalah Akauntan berketurunan India.

Ada banyak kenyataan umum tentang perlunya Malaysia memperoleh Akauntan Profesional dan usaha-usaha ke arah merealisasikannya. Contohnya kenyataan PM kita yang dipetik pada 18 Jun 2014. Adakah ini bermakna, kerajaan Malaysia sanggup berbelanja besar membiayai pelajar lepasan sekolah belajar ke bidang perakaunan profesional? Tetapi saya meragui semua orang yang memohon akan mendapat pembiayaan penuh. Meritokrasi berperanan dalam menentukan siapa yang berhak. Selalunya bukan bumiputera yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti SPM dan STPM. (Itu adalah dilema bangsa bumiputera kita, bukannya salah sistem meritokrasi, jangan salah faham).

Memang benar, usaha di peringkat kerajaan telah dilaksanakan untuk membantu meningkatkan penglibatan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam bidang perakaunan melalui program profesional, contohnya melalui penglibatan agensi pendidikan di bawah MARA. Namun demikian, kos pembiayaan tersebut, lebih mahal jika dibiayai sendiri. Sebagai perbandingan, kos membiayai seorang pelajar untuk program profesional perakaunan boleh digunakan untuk membiayai 2-3 orang pelajar untuk program Ijazah Perakaunan di IPTA.

Jika benar kenyataan yang dibuat oleh Majlis Dekan-Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, saya berpendapat kadar peratusan penglibatan kaum Bumiputera dalam bidang perakaunan dan menjadi Akauntan Bertauliah akan semakin mengecut atau jika meningkat pada kadar amat perlahan, dengan mengambilkira kemampuan ekonomi kaum itu sendiri dalam membiayai pendidikan perakaunan yang menelan belanja 2-4 kali ganda berbanding mengikuti program Ijazah Perakaunan di IPTA. Mengikut pendapat Pengerusi Majlis Dekan-dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, kos mengikuti program profesional menjangkau RM30000-RM40000 (nilai kasar berdasarkan kadar pertukaran wang sekarang).

Maka malanglah kepada pelajar yang berminat ke bidang perakaunan tetapi gagal mendapatkan pembiayaan kerajaan atau agensi kerajaan. kalaupun berjaya masuk ke ijazah perakaunan, mereka tetap akan diwajibkan berbelanja besar (kali kedua?) selepas tamat pengajian ijazah hanya semata-mata untuk menjadi akauntan.

Sebagai guru perakaunan yang memegang ijazah perakaunan, saya melihat perkembangan ini dalam dua aspek, aspek positif dan aspek negatif. Tetapi sengaja tidak ditulis di sini. Cuma yang merungsingkan ialah bagaimana untuk memikat pelajar untuk menceburi bidang perakaunan dengan memulakan langkah pertama dengan mengikuti kelas Prinsip Perakaunan di tingkatan empat dan lima dengan penuh kesungguhan. Pelajar bumiputera (walau tak semuanya) sudah terkenal dengan semangat-semangat seperti “pantang kalah kalau dah gagal, lebih baik jangan kalah langsung (mengelak/jangan turut serta)” atau falsafah “aku gagal bukan salah aku, sebab aku kena paksa belajar”.

Jika keadaan ini berterusan, penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perakaunan dan menjadi Akauntan Bertauliah di Malaysia akan terjejas atau terlalu perlahan, bermula di peringkat akar umbi lagi. Phobia matematik dan nombor di kalangan bumiputera lagilah umpama penyakit keturunan, maka makinlah tidak ramai bakat ‘sihat’ yang mampu ke bidang perakaunan.

Ramai cikgu menyedari peluang mencipta kerjaya dalam bidang perakaunan, sama ada akauntan awam atau pengamal perakaunan disektor swasta atau sektor awam (kerajaan), tetapi selalunya gagal menyampaikannya secara efektif kepada pelajar Prinsip Perakaunan. Kesannya persepsi pelajar terhadap subjek Prinsip Perakaunan tidak lebih sebagai subjek elektif menjadi-jadi. Elektif bermakan pilihan, bukannya kemahuan. Lebih-lebih lagi apabila ramai pelajar bumiputera yang belajar di sekolah kerajaan yang lebih rela ‘gagal dan tidak bersalah’ serta menyalahkan guru sebagai punca kegagalan.

Akhirnya, bilangan akauntan dari kaum bumiputera dan India umpama angka pengimbang sehinggalah ke tahun 2020. Apa usaha kita sekarang?

 

Nota : Akauntan adalah individu yang menceburi bidang perakaunan sepenuh masa, atau dikenali juga sebagai pengamal perakaunan.

Berdasarkan rekod yang diumumkan kepada pihak media (Kosmo), sehingga  Jun 2013 terdapat 29,624 akauntan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Malaysia mengunjurkan Akauntan Bertauliah seramai 60000 menjelang 2020.

 

Usaha Pindaan Akta Akauntan 1967 memberi Implikasi Implisit Mengekang kaum Bumiputera ke Bidang Perakaunan?

Ini adalah petikan akhbar yang membawa kepada kerisauan saya.

Pihak berkepentingan didakwa cuba pinda Akta Akauntan 1967

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Hasrat kerajaan menghasilkan lebih ramai golongan profesional Melayu dan bumiputera dalam bidang perakaunan dikhuatiri terjejas disebabkan tindakan Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang dikatakan cuba meminda Akta Akauntan 1967.

Pindaan itu akan menyebabkan taraf Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lebih rendah berbanding yang ditawarkan badan profesional di luar negara.

Pengerusi Majlis Dekan-Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, Profesor Dr. Kamil Md. Idris mendakwa, usaha tersebut turut merendahkan martabat universiti tempatan yang selama ini mematuhi dengan ketat setiap peraturan dikeluarkan Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) dan Standard Pendidikan Antarabangsa (IES).

Dakwa beliau, penyediaan pelan tindakan khas atau ‘blue print’ bagi meminda akta tersebut bermula selepas badan-badan profesional termasuk dari luar negara yang menjadi anggota MIA dan berorientasikan keuntungan mungkin terjejas akibat ramai pelajar memilih untuk masuk IPTA kerana yurannya yang murah.

Beliau mendakwa, beberapa Ahli Lembaga Pengarah MIA yang berlatar belakangkan kelulusan badan profesional berkenaan telah mengabaikan pandangan daripada wakil IPTA yang mempunyai hak bersuara dalam setiap dasar berhubung pendidikan perakaunan negara.

“Organisasi profesional perakaunan ini rata-rata berteraskan perniagaan. Maksudnya, sesiapa yang mengambil peperiksaan dengan mereka dikenakan yuran yang tinggi dan perlu dibayar mengikut nilai mata wang pound sterling atau kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 untuk menduduki peperiksaan mereka bergantung kepada tahap masing-masing.

“Sedangkan di IPTA, bayaran tahunan kursus perakaunan cuma di antara RM2,000 ke RM3,000 selepas menerima subsidi sehingga RM16,000.

“Maksudnya, ada kemungkinan ini satu strategi perniagaan dengan menggunakan keahlian dalam MIA untuk membantu organisasi profesional. Amat menyedihkan apabila Jawatankuasa Pendidikan dalam MIA yang sepatutnya ada lima wakil IPTA telah dikeluarkan ketika mereka menghasilkan pelan tindakan khas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamil yang juga Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sekiranya usaha MIA itu berjaya, taraf kelulusan siswazah akauntan IPTA berada di kelas kedua dan sesiapa yang masih berhajat untuk menjadi akauntan bertauliah terpaksa mengambil peperiksaan dengan badan-badan profesional berkenaan dengan membayar kos yang terlalu tinggi.

Tegasnya, siswazah IPTA yang paling terkesan dengan penggubalan akta itu adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menjadi gedung melahirkan akauntan bertauliah dengan jumlah graduan perakaunan sebanyak 1,600 hingga 1,800 orang pada setiap tahun.

“Akta itu adalah kawalan untuk menjadi akauntan bertauliah mesti menjadi ahli MIA. Untuk menjadi ahli kena lulus dengan universiti tempatan atau badan profesional seperti termaktub dalam jadual dalam Akta Akauntan 1967 iaitu senarai universiti dan organisasi yang mendapat pengiktirafan.

“Apa yang berlaku sekarang mereka tidak mahu lagi menggunakan jadual itu dan guna syarat baharu. Maksudnya disebabkan taraf kelayakan di IPTA menjadi rendah, graduan kita terpaksa menempuh dua fasa peperiksaan yang selama ini tidak ada yang turut bererti IPTA seolah-olah tidak ada guna langsung,” tegasnya.

Tambah Kamil, meskipun pindaan akta berkenaan belum berjaya, namun pihak-pihak berkepentingan telah mencadangkannya kepada menteri berkaitan sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita juga tidak menghalang sebarang usaha Kementerian Pendidikan tetapi apa yang kerajaan tidak tahu adalah proses itu dibuat secara halus dengan menurunkan taraf ijazah kita,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140911/dn_08/Pihak-berkepentingan-didakwa-cuba-pinda-Akta-Akauntan-1967#ixzz3D6ggGusi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Walaupun kecil pada pandangan orang luar bidang perakaunan, tetapi ia adalah isu besar kepada dalam jangka panjang.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN

selamat-hari-raya-2014

Kepada semua rakan taulan dan pengunjung blog sifu, terutamanya yang muslim, sifu mengambil kesempatan ini menyampaikan ucapan hari raya, dan maaf zahir dan batin. Semoga anda semua panjang umur, bertambah berkat dan murah rezeki, Amin.

 

Buku Rujukan Kuasai Melalui Diagram Prinsip Perakaunan

Buku rujukan Siri Kuasai Melalui Diagram (KMD) adalah terbitan SAP Publications (M) Sdn. Bhd. Memperkenalkan buku terbitan terkini di bawah siri KMD untuk subjek Prinsip Perakaunan, terbitan 2014. Walaupun buku ini pernah diterbitkan sebelum ini, tahun 2014 ia diberi wajah baru.
cover buku KMD Prinsip Perakaunan 2014

Kepada pelajar Prinsip Perakaunan, ia adalah salah satu buku yang boleh digunakan untuk pembelajaran kendiri selain dari buku teks yang dibekalkan oleh KPM. Sekarang telah berada dipasaran.

Sebarang pertanyaan, bolehlah diajukan terus kepada penerbit SAP Publications (M) Sdn. Bhd. dengan melayari facebook atau terus ke emel mereka dengan membuat carian ‘google’.