Monthly Archives: Ogos 2010

UiTM – Ambilan Disember 2010

PERMOHONAN KEMASUKAN PELAJAR BARU
PROGRAM SEPENUH MASA PRA DIPLOMA,
ASASI, DIPLOMA, IJAZAH SARJANA MUDA,
SERTA PROGRAM PROFESIONAL (SEPENUH MASA / SEPARUH MASA)
SESI DISEMBER 2010

DIBUKA MULAI 16 OGOS 2010
JAM 12 TENGAH HARI

TARIKH TUTUP : 19 SEPTEMBER 2010

Panduan Melengkapkan Kertas 3 – Tugasan 1 (Tingkatan Empat)

Tugasan 1 untuk Kertas 3 telah bermula hari ini. Untuk tempoh selama 8 minggu pelajar Prinsip Perakaunan SPM 2011 wajib melengkapkan tugasan ini, sekaligus melengkapkan gred SPM 2011 mereka.

Apa yang perlu pelajar ketahui dan apakah prosedur atau peraturan yang mesti dipatuhi?

Pertama – Baca Buku Panduan Tugasan

Pelajar T4 SPM 2011 wajib membaca dengan teliti Panduan Pelaksanaan & Penilaian Projek 3756/3 SPM 2011 Untuk Tingkatan 4 (Ogos-September 2010). Ini penting. Kemungkinan besar, cikgu awak juga akan mengedarkan buku panduan ini untuk rujukan setiap individu pelajar. Jika perlu cetak sendiri dokumen itu. Dengan membaca buku panduan yang disediakan oleh LPM itu, pelajar akan ketahui dua perkara penting :

  • Elemen yang ditaksir dan syarat-syarat pentaksiran. Dengan kata lain, pelajar akan tahu yang diperlukan untuk memperoleh gred A bagi tugasan ini.
  • Format penyediaan tugasan dengan merujuk semua Lampiran yang disediakan.

Kedua – Baca Arahan dan Soalan Tugasan

Pelajar T4 SPM 2011 hendaklah membaca dengan teliti dan hati-hati arahan dan soalan Kertas 3 – Tugasan Projek 1. Beri perhatian kepada keperluan soalan seperti jenis perniagaan dibenarkan, bilangan urus niaga dikehendaki, jumlah modal permulaan dan gaji pekerja yang ditetapkan. Sudah tentulah, maklumat lain juga penting. Keakuran kepada kehendak tugasan adalah amat penting. Contohnya, jangan cipta soalan untuk perniagaan menjual telefon mudah alih kerana ia tidak termasuk dalam pilihan perniagaan yang dibenarkan. Juga apabila memilih perniagaan menjual perabot, janganlah pula ada perniagaan sampingan seperti menjual televisyen dan pemain DVD. Pada hemat sifu, ia tidak patuh kepada arahan tugasan di samping menyukarkan diri pelajar sendiri.

Ketiga – Rancang Jadual Melengkapkan Tugasan 8 Minggu

Pelajar T4 SPM 2011 mestilah menerima hakikat bahawa tugasan ini mesti disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. Bincang dengan guru awak bagaimana. Apa yang pasti, pelajar hendaklah menjalankan tugasan ini dalam tempoh 8 minggu persekolahan rasmi. Ia tidak termasuk cuti sekolah dan cuti gantian Hari Raya. Jika sekolah anda mengambil cuti Hari Raya selama 5 hari (termasuk cuti awam), maka ia ditolak dari jadual atau carta Gantt itu. Begitu juga cuti persekolahan. Pelajar dan guru tidak wajib ke sekolah untuk menyiapkan tugasan ini. Ini bermakna, untuk tahun ini, kemungkinan besar tugasan diselesaikan dalam minggu pertama dan/atau kedua bulan Oktober.

Keempat – Rancang Disiplin dan Kejujuran Diri

Pelajar T4 SPM 2011 mestilah bersedia mendisiplinkan diri untuk menyelesaikan tugasan ini sepenuhnya melalui usaha diri sendiri. Pelajar tidak boleh mendapatkan bantuan dari pihak luar, termasuklah ayah, ibu, adik, abang, kakak, pakcik, makcik, sepupu mahupun rakan sebaya yang mempunyai kemahiran perakaunan atau graduan perakaunan. Mungkin bantuan berupa nasihat adalah tidak salah, tetapi jika sehingga ke tahap meminta ‘bantuan’ menyeluruh, maka ia sebenarnya satu penipuan peperiksaan. Ketahuilah, bahawa tugasan ini telah diisytiharkan sebagai kertas peperiksaan. Implikasinya, pelajar dianggap CALON peperiksaan SPM 2011 (walaupun proses pendaftaran belum selesai) dan terikat dengan peraturan dan syarat peperiksaan SPM sedia ada.  jika anda didapati bersalah menipu dalam peperiksaan, maka anda boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti dilarang menduduki peperiksaan SPM selanjutnya dan/atau gagal dalam peperiksaan ini.

Di bawah ini, sifu petik kenyataan dalam Buku Panduan dan Jadual Waktu Peperiksaan SPM yang sedia ada.

17. Sebarang perbuatan yang melanggar peraturan peperiksaan dianggap salah laku dan
akan menyebabkan calon dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Peraturan-
Peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997 dalam Akta Pendidikan 1996
(Akta 550) salah laku ertinya menipu, menyamar, menyeludup apa-apa yang tidak
dibenarkan atau apa-apa salah laku yang lain yang disifatkan sebagai suatu salah
laku serius oleh Lembaga Peperiksaan. Calon yang disabitkan dengan mana-mana
salah laku di atas boleh dikenakan tindakan berikut:-
17.1 Keseluruhan keputusan peperiksaan digantung;
17.2 Keputusan mata pelajaran berkenaan dibatalkan;
17.3 Keseluruhan keputusan peperiksaan dibatalkan;
17.4 Keseluruhan peperiksaan pusat berkenaan dibatalkan.

Oleh itu, nasihat sifu, buatlah dengan jujur, dengan bimbingan guru dan rakan atau keluarga, tetapi bukan dengan ‘BANTUAN PENUH’ guru dan rakan atau keluarga. Laksanakan tugasan dengan menyelesaikannya sebagai hasil tugasan asli diri anda sendiri, bukannya dengan meniru atau menipu. Jangan korbankan diri anda dan mungkin juga seluruh sekolah anda.

Baiklah, setakat ini dahulu tulisan sifu. Sebarang penambahan akan dibuat di dalam muka surat yang lebih boleh dilayari melalui MENU KERTAS 3 di atas.

ARTIKEL ASAL INI DITULIS OLEH CIKGU RITHUWAN NASIR, 2 Ogos 2010.