Monthly Archives: April 2010

Menyumbang ke arah Peningkatan Sukan Bola sepak. Bagaimana?

Idea Liga Piala Menteri Pelajaran Malaysia dan Liga Remaja KPM-FAM memang amat baik. Kini ia telah memasuki musim/edisi ketiga tahun ini. Sekurang-kurangnya ada juga kejohanan timbal balik, padang sekolah sendiri yang boleh kita, warga pendidik dan pelajar, banggakan. Apakan tidak, walaupun sifu tidak mengajar di SMK Keningau 2, tapi sifu tetap berbangga kerana ada juga sekolah dari Sabah turut serta dalam kejohanan berprestij itu.

Mudah-mudahan melalui kejohanan sebegini, kementerian pelajaran dapat melahirkan footballer yang berilmu, strategis, critical thinking dan kemahiran bola sepak yang tinggi. Secara peribadi pula, sifu membayangkan jikalau semua sekolah menengah turut mengikuti Liga Piala Menteri Pelajaran itu, tentu gilang-gemilang sekolah masing-masing.

Kita semua sedia maklum, masih ramai lagi pelajar yang juga young footballer di Malaysia. Namun kekangan masa, pembiayaan dan logistik tidak memungkinkan SEMUA SEKOLAH dibenar turut serta dalam Liga Piala Menteri Pelajaran. Sifu tahu, ia adalah hampir mustahil dilakukan atas banyak faktor. Tak apa, mesti ada alternatif lain.

Jadi bagaimana pelajar-pelajar lain berbakat boleh turut mendapat peluang dan ruang untuk mendedahkan diri mereka ke dalam dunia sukan bola sepak dengan lebih kerap? Sebenarnya sifu pun tidak ada jawapannya, dan mustahil dapat menjawab atau memberi penyelesaian terbaik untuk persoalan ini.

Tetapi kami di SMK Putatan, Sabah, cuba menyumbang, jika tidak banyakpun, sedikit kepada dunia bola sepak tempatan. Paling tidak kami cuba mencipta peluang kepada young footballer kami, pelajar-pelajar kami yang suka, yang sedang mencuba-cuba, yang sedang berjinak-jinak atau sedang mengasah bakat bermain bola sepak. Berinspirasikan Liga Piala Menteri Pelajaran dan berpaksikan Pembangunan Ko-kurikulum oleh UNIT Ko-kurikulum Sekolah, dan melalui sokongan penuh Pengetua dan Penolong Kanan Ko-kurikulum, serta sokongan moral pihak pentadbiran lain, guru-guru dan pelajar-pelajar, maka Kelab Bola sepak SMK Putatan memulakan langkah menzahirkan satu wadah alternatif yang sesuai untuk warga kami. Kelab kami, KBSSMKP, telah dibenarkan menganjurkan kejohanan yang kami jenamakan sebagai Liga Bola sepak SMK Putatan Piala Pengetua atau boleh juga digelar Liga Piala Pengetua Hjh Azah Hj Ismail.

Jika Liga peringkat kementerian itu melibatkan sekolah-sekolah terpilih, Liga sekolah kami pula melibatkan enam pasukan yang ditubuhkan khas untuk mengumpul dan menjadi ruang kepada young footballer kami.

Sifu, sebagai GURU PENASIHAT KEDUA, Kelab Bola sepak SMK Putatan, menjadi pengerusi jawatankuasa penganjuran kejohanan Liga tersebut. Jika berminat mengetahui lebih lanjut, layarilah blog rasmi kami – http://ligabolasepaksmkputatan.wordpress.com

NAH, KINI KAMU TAHU KENAPA SIFU KURANG BER-BLOG SEJAK AKHIR-AKHIR INI.