Category Archives: Keratan Akhbar

Lepasan Diploma Layak ke Pangkat Sarjan PDRM

Petikan akhbar – Sumber Utusan Online

Lulusan diploma ditawar Sarjan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

ISMAIL Omar diiringi Dr. Aziz Deraman memeriksa perbarisan kawalan hormat di UMT, Kuala Terengganu, semalam.


 

KUALA TERENGGANU 12 Mac – Golongan siswazah yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma berpeluang untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Sarjan tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, skim ditawarkan tersebut merupakan satu usaha dalam menarik minat golongan itu menyertai PDRM.

Katanya, mereka juga berpeluang menikmati skim kenaikan pangkat dalam tempoh lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun sebelum ini.

“Kita berharap melalui skim baru itu, dapat menarik minat golongan muda menyertai polis,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa dan Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Pada majlis tersebut lima kakitangan UMT telah menerima pangkat masing-masing iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim; Pendaftar UMT, Zakarian Ibrahim; Ketua Pusat Sukan UMT, Rafee Jusoh; Ketua Pusat Ko-Kurikulum UMT, Awang Koding Che Tom dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Siti Zainab Mat Zin.

Penubuhan Kor Suksis UMT yang secara rasmi ditubuhkan pada 24 Julai 2006 telah mempunyai keanggotaan 282 pelajar dan daripada jumlah tersebut seramai 70 orang telah ditauliahkan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, skim tersebut yang merupakan salah satu penambahbaikan bidang kepolisan, selaras dengan hasrat PDRM untuk menambah keanggotaan pasukan berkenaan kepada seramai 150,000 orang menjelang 2015.

Katanya, dalam usaha itu, beliau mahu tenaga muda dan berkelayakan untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang siasatan.

Tambah beliau, PDRM turut mengambil kira penambahan bilangan rakyat di negara ini serta cabaran yang semakin tinggi.

“Kita memerlukan para pegawai yang bertenaga serta berpengetahuan tinggi dalam penyiasatan agar kualiti sesuatu kes disiasat, lebih baik,” katanya.

 

Calon SPM Sekolah Seni Dalam Dilema

Petikan akhbar Berita Harian online

Nasib murid sekolah seni diragui
Oleh Azida Shaharuddin 

2011/03/07

SEKOLAH Seni Johor Bahru Jalan Abdul  Samad. 

SEKOLAH Seni Johor Bahru Jalan Abdul Samad.

Sistem penggredan didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi

JOHOR BAHRU: Lebih 100 pelajar perintis dua sekolah seni kendalian Kementerian Pelajaran yang kini berada dalam Tingkatan Lima, dijangka berdepan masalah memohon kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) kelak berikutan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian mereka didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

Status itu dikatakan mencetus kebimbangan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa dan guru, terhadap nasib serta hala tuju pelajar dua sekolah seni yang ditubuhkan sejak Januari 2007, iaitu Sekolah Seni Johor Bahru (SSeJB) dan Sekolah Seni Kuching (SSK).

Menurut sumber rapat dengan pengurusan sekolah seni itu, sistem penilaian dan penaksiran subjek kesenian yang diambil pelajar terbabit adalah dalam bentuk Band merangkumi Band I hingga VI, berbeza dengan sistem untuk mata pelajaran akademik.

Beliau mendakwa, sistem Band seumpama turut digunakan dalam penilaian Malaysian University English Test (MUET) yang diiktiraf kerajaan tetapi dalam konteks mata pelajaran kesenian di sekolah seni, ia belum diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

“Modul, sukatan pelajaran dan keputusan peperiksaan menggunakan sistem penggredan Band di sekolah seni dilaksanakan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran.

“Bagaimanapun, masalah kini timbul apabila Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyarankan pelajar ini mendaftar untuk menduduki peperiksaan subjek kesenian sekolah harian biasa bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan November depan.

“Kumpulan perintis sekolah seni ini meluangkan hampir 12 jam seminggu untuk mempelajari subjek kesenian mereka dan menerusi sukatan serta modul khas yang diikuti, pendidikan mereka boleh dianggap setaraf pengajian pelajar tahun pertama peringkat diploma.
“Jadi persoalan kini, berbaloikah usaha semua pelajar sekolah seni ini jika mendaftar mengambil peperiksaan sekolah harian biasa semata-mata untuk memastikan gred mata pelajaran kesenian mereka diiktiraf?” katanya.

Sumber itu berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana pelajar sekolah seni terbabit bakal mendaftar mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaan SPM pada akhir bulan ini.

“Masalah ini dikatakan sudah dikenal pasti sejak lebih setahun lalu dan dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pelajaran dari semasa ke semasa.

“Namun sehingga kini difahamkan tiada sebarang penyelesaian diperoleh, sebaliknya memerlukan transformasi pada peringkat pelajar sendiri. Di manakah martabat sekolah seni jika keadaan sebegini berlaku?” katanya yang meminta BPK Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius masalah itu dan mengatasinya segera.

Beliau mendakwa sekiranya perkara itu berterusan dan mengundang masalah pada masa depan, tidak mustahil ibu bapa pelajar di sekolah itu memberhentikan anak kerana menganggap lebih baik mereka mengikuti pembelajaran di sekolah harian biasa.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeJB, Selamat Omar, mendakwa perkara berkenaan sering dibangkitkan pada mesyuarat PIBG sejak tahun lalu, namun sehingga kini pihak sekolah dan ibu bapa masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran mahu pun Pengajian Tinggi mengenainya.

“Mungkin bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dari segi akademik tidak bermasalah untuk memasuki IPT tempatan.

“Namun bagaimana pula dengan pelajar yang sederhana pencapaiannya, iaitu keputusan akademik dan kesenian masing-masing hanya 50-50, tentu peluang sukar untuk mereka memasuki IPT,” katanya.

Selain itu, Selamat berkata, ramai ibu bapa juga pernah mempersoalkan mengapa pelajar sekolah seni perlu memilih aliran sains atau sastera ketika memasuki Tingkatan Empat selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Kami terkejut dengan keadaan ini. Dari awal lagi kami sudah bertanya ketika bermesyuarat, mengapa sekolah seni perlu mengikut format sekolah harian biasa? Apa yang kami risaukan sebelum ini kini sudah dapat dilihat sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.

SSeJB dan SSK diwujudkan kerajaan sebagai saluran kepada pelajar berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian untuk mendalami bidang yang mereka minati itu.

Sekolah berkenaan menawarkan pendidikan kesenian teater, muzik, pendidikan seni visual dan tarian, selain subjek wajib lain seperti Matematik, Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.

UiTM – Ambilan Disember 2010

PERMOHONAN KEMASUKAN PELAJAR BARU
PROGRAM SEPENUH MASA PRA DIPLOMA,
ASASI, DIPLOMA, IJAZAH SARJANA MUDA,
SERTA PROGRAM PROFESIONAL (SEPENUH MASA / SEPARUH MASA)
SESI DISEMBER 2010

DIBUKA MULAI 16 OGOS 2010
JAM 12 TENGAH HARI

TARIKH TUTUP : 19 SEPTEMBER 2010

Keratan Akhbar – Masalah teknikal punca USM silap papar calon

Petikan Akhbar Berita Harian – 1 Jun 2009

sumber asal : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20090531234349/Article/index_html

Masalah teknikal punca USM silap papar calon

GEORGETOWN: Masalah teknikal dalam pengumuman senarai calon yang diterima masuk Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi punca 8,173 calon tersenarai dalam laman web rasmi USM pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan kekeliruan di kalangan pemohon.

Pemangku Naib Canselor USM, Prof Ahmad Shukri Mustapa Kamal, berkata senarai calon yang dipaparkan itu hanya berasaskan kepada kriteria minimum keperluan untuk mengikuti program pengajian dan bukan calon yang dipilih.

“USM yang menyedari kesilapan itu, membetulkan senarai nama mereka yang layak dan dipaparkan dalam laman webnya kelmarin. Bagaimanapun, sebelum pembetulan dilakukan, sudah ada pemohon yang melayari laman web berkenaan.

“Jumlah sebenar yang dipilih selepas dilakukan pemilihan terakhir pada 26 Mei hingga 28 Mei lalu hanya 3,599 calon berasaskan kepada kelayakan setiap program,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Unit Kemasukan dan Pengambilan, USM talian 04-6533141/3478/3697 atau 1300888 atau email admissions@notes.usm.my.

Sementara itu, hampir 100 pelajar bersama keluarga masing-masing yang mengunjungi kampus induk USM di sini, semalam, keliru apabila mendapati mereka tidak diterima masuk ke universiti berkenaan.

Mereka mengunjungi USM untuk membuat pengesahan menerima tawaran.

————

Petikan Akhbar Utusan Malaysia – 2 Jun 2009

Kecoh di USM: Jawatankuasa siasatan bebas ditubuh

sumber asal :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_03.htm

PULAU PINANG 1 Jun – Sebuah jawatankuasa siasatan bebas berhubung kesilapan dalam pengumuman senarai akhir kemasukan pelajar ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sesi 2009/2010 telah ditubuhkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Pemangku Naib Canselor USM, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, USM akan bekerjasama dengan jawatankuasa bebas bagi meredakan keresahan para pelajar serta ibu bapa ekoran kejadian tersebut.

Pada sidang akhbar khas yang diadakan di Pejabat Pendaftar Bangunan Canselori di sini hari ini, beliau memaklumkan perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahukan siasatan telus dibuat bagi mencari kesilapan tersebut.

”Pagi tadi satu mesyuarat khas telah diadakan di KPT bagi mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Omar Abdul Rahman untuk menyiasat dan mengenal pasti punca kesilapan teknikal yang berlaku di USM.

”Seperti yang dijelaskan semalam, ia berpunca daripada kesilapan teknikal USM yang menyenaraikan nama semua pelajar yang layak iaitu kira-kira 8,173 calon sedangkan jumlah pengambilan sebenar adalah 3,599 orang sahaja.

”Namun terdapat kesilapan yang dilakukan menyebabkan lebih 4,574 nama yang tidak ditawarkan juga terpapar dalam laman web USM dan kita pula hanya menyedari kesilapan tersebut setelah lebih 1,300 direkodkan menerima tawaran itu dan selaras itu juga, senarai tersebut diperbetulkan pada hari Sabtu,” katanya.

Menurut Ahmad Shukri, walaupun baki 4,574 tidak terpilih ke USM tetapi senarai nama mereka telah pun dimajukan ke Unit Pusat Universiti (UPU) bagi dipertimbangkan untuk kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain kerana berdasarkan kelulusan akademik mereka layak untuk ke universiti.

Sehubungan itu katanya, hanya calon yang mengemukakan permohonan melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, KPT dan gagal mendapat tawaran ke USM atau menolak tawaran daripada universiti itu akan diproses untuk dipertimbangkan dalam pemilihan ke universiti awam lain.

“Bagi pengambilan ke sesi 2009/ 2010, USM menerima sebanyak 22,000 permohonan dan jumlah 8,173 adalah calon yang memenuhi kriteria universiti itu tetapi hanya 3,599 yang benar-benar layak berdasarkan penilaian merit dan seterusnya ditawarkan tempat di USM.

”Kita akan tunggu sehingga hari pendaftaran pelajar baru pada 27 Jun nanti dan jika ada mana-mana calon tidak hadir mendaftar atau menolak tawaran, maka USM akan memberi keutamaan kepada senarai nama calon-calon yang tidak terpilih ini untuk pengambilan kedua,” jelasnya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi kekeliruan senarai nama yang berlaku, Ahmad Shukri memberitahu hasil siasatan itu akan disiapkan dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi.

——–

PETIKAN FAKTA MENARIK :

1. Bagi pengambilan ke sesi 2009/ 2010, USM menerima sebanyak 22,000 permohonan.

2. Terdapat 8,173 pemohon dalam pelbagai program yang layak yang memenuhi kriteria universiti.

3. Hanya 3,599 calon yang layak ditawarkan masuk berasaskan kepada kelayakan setiap program (berdasarkan penilaian merit).

4. Hanya 16.36% daripada jumlah permohonan ke USM yang berjaya mendapat tempat.

5. Pemohon yang benar-benar memenuhi kriteria USM pula, hanya 44.04 % pemohon yang berjaya mendapat tawaran USM.

5. Sudah jelas bahawa PERSAINGAN mendapat tempat dalam mana-mana universiti, termasuklah USM, adalah amat tinggi dan oleh itu USM berhak untuk memilih pemohon terbaik di antara yang terbaik, tertakluk kepada kemampuan infrastruktur sedia ada.

6. Calon SPM/STPM 2009 – adakah akan belajar sesuatu dari artikel ini? Sifu amat berharap anda belajar sesuatu yang tersirat dan mengetahui apa yang tersurat.

Terima kasih kepada Elfarida di atas makluman tentang keratan akhbar 2 di atas.