Monthly Archives: Januari 2014

Cemerlang dalam Prinsip Perakaunan SPM

Pengenalan

Pelajar cemerlang PMR mengadu bahawa subjek Prinsip Perakaunan susah. Susah mau ingat formula dan susah mau faham logik perakaunan. Bayangkan pula apa yang diperkatakan oleh pelajar sederhana atau lemah prestasi dalam peperiksaan PMR.

Tetapi tidak menghairankan jika ada juga pelajar sederhana cemerlang PMR yang menyangkal kenyataan itu, sebaliknya mengatakan yang Prinsip Perakaunan adalah subjek boleh difahami dan diikuti. Malah ada pelajar sederhana PMR yang berani mengiyakan bahawa mereka mampu menyaingi pelajar cemerlang PMR pun dan sama-sama mendapat gred A (tak kiralah sama ada A-, A atau A+).

Faktor-faktor Kegagalan

Persoalan yang pernah diajukan kepada saya bagaimana nak lulus dalam SPM. Selalunya saya akan cuba menyakinkan pelajar bahawa mereka boleh lulus dengan baik atau lulus cemerlang dalam subjek Prinsip Perakaunan SPM walaupun sering ‘tak cukup markah’ di dalam peperiksaan peringkat sekolah. Tetapi memang akan ada pelajar yang sah gagal di peringkat sekolah dan di peringkat SPM. Apakah faktor yang menjadi penyebab pelajar cemerlang gagal Prinsip Perakaunan SPM?

  1. Belajar dengan kaedah yang salah atau tidak sesuai.
  2. Tidak membudayakan latihan akses kendiri.
  3. Tidak mempunyai kebolehan memahami logik matematik dalam simpan kira dan sistem catatan bergu
  4. Kurang berdisiplin
  5. Sombong – sengaja tidak mahu belajar dan mengulang kaji pelajaran setiap minggu
  6. Menganggap diri dipaksa mengambil subjek elektif yang susah
  7. Memang pemalas
  8. Sengaja menggagalkan diri – kerana marah dengan ibu bapa atau guru atau individu lain
  9. Sengaja tidak menyiapkan dan menghantar Kertas Projek PBS PRinsip Perakaunan (2 projek)

Faktor-faktor Kecemerlangan

Sebenarnya tidak ramai yang gagal Prinsip Perakaunan SPM. Secara umumnya, peratus pelajar lulus subjek Prinsip Perakaunan SPM 2012 di peringkat kebangsaan (seluruh Malaysia) ialah 89.70%. Ia merupakan peratus lulus yang tinggi. Untuk perbandingan, peratus calon SPM 2012 dari Negeri Kelantan ialah 95.10%. Itupun setelah LPM mula memasukkan unsur-unsur KBAT di dalam soalan peperiksaan mulai tahun 2012.

Oleh itu, adalah agak tidak keterlaluan jika dikatakan pelajar-pelajar Prinsip Perakaunan SPM boleh lulus dan boleh juga cemerlang. Tidak perlu diragui. Tetapi memanglah tidak dapat dinafikan akan ada juga pelajar yang dilanda masalah menguasai subjek Prinsip Perakaunan dan akhirnya gagal di dalam SPM. Umpama peribahasa Melayu, ‘dalam satu tandan pisang, pasti ada juga pisang buruk’. Lupakan dahulu peratus yang gagal dan fokuskan kepada majoriti yang lulus dan juga kecemerlangan calon-calon sebelum ini.

Apakah faktor-faktor yang membantu calon SPM lulus? Berikut adalah antara perkara-perkara yang mesti ada pada pelajar.

  1. Rajin mengulang kaji dan membuat latihan kendiri
  2. Mempunyai pemikiran logik yang munasabah tingginya
  3. Berdisiplin dan mampu menerima peraturan termaktub dalam simpan kira dan perakaunan.
  4. Relaks – anggaplah subjek ini tidak sesukar subjek sains tulen
  5. Fokus – penyelesaian semua soalan perakaunan ada kaitan dengan akaun T dan ALEPHB.
  6. Mahir menghubungkait sesuatu perkara dengan perkara lain – amat membantu dalam pemahaman sistem catatan bergu
  7. Minat.
  8. Rendah diri
  9. Sedar bahawa PMR tak sama dengan SPM
  10. Menerima perubahan
  11. Mengamalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
  12. Tidak takut belajar perkara baru.

Merancang Kejayaan – Lulus dengan Cemerlang dalam SPM

Perkara ini mungkin boleh difikirkan.

  1. Hubungan guru-pelajar yang berkualiti – guru fasilitator, mentor, pengajar, pembimbing, motivator, manakala pelajar individu yang dibimbing, mentee, dan memang berakhlak sebagai pelajar
  2. Guru mengajar, pelajar belajar – bukan sebaliknya
  3. Guru merancang prestasi anda dan anda mengusahakan pencapaian itu sepanjang tahun – Perancangan HeadCount membantu
  4. Maklum bahawa mesti menguasai Prinsip Perakaunan sejak dalam Tingkatan 4.
  5. Pelajar mesti yakin dengan guru anda. Guru mahu anak didiknya 100% lulus dan merancang ke arah itu. Tapi guru bukan magician mahupun Nabi dengan mukjizat. Pelajar yang mesti berusaha untuk ‘melekatkan’ pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran ke dalam otak dan minda masing-masing.
  6. Proses pembelajaran mesti dirancang sungguh-sungguh. Kata pengetua saya, terserah bagaimana guru mengajar, yang penting betul, dan ada impak. Tanpa guru merancang dengan betul, pelajar terpaksa belajar dengan rasa terbeban. (Saya pun sedang dan akan terus mengusahakan bahagian ini). Sebaliknya berlaku apabila guru tahu bagaimana nak permudahkan pengajaran supaya pelajar boleh belajar dengan berkesan. Selalunya pengalaman ditagih dari guru-guru lama. Guru baru boleh belajar dari mereka yang digelar Guru Cemerlang.
  7. Pelajar bermotivasi di samping kelas Prinsip Perakaunan yang ceria.

Penutup

Cemerlang dalam Prinsip Perakaunan mesti bermula dengan kehendak diri pelajar ingin lulus dalam SPM. Ia juga berkaitan dengan ketersediaan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Kebolehan pelajar untuk memaksa atau memujuk diri untuk mempelajari subjek elektif yang bernilai tinggi seperti Prinsip Perakaunan amat membantu diri mereka sendiri.

Jika anda pelajar Prinsip Perakaunan yang bakal menduduki peperiksaan SPM, maka ingatlah bahawa majoriti calon SPM lulus, hanya segelintir yang gagal. Letakkan diri anda dalam kelompok lulus itu, dan fokuskan kepada pencapaian terbaik di dalam kategori lulus. Tidak ada guru yang mengajar muridnya dan sedang merancang bagaimana nak menggagalkannya. Bekerjasama dengan guru anda dan berterus terang dengan guru tentang masalah pembelajaran yang dihadapi. Semakin anda bersikap terbuka dengan guru, semakin mudah ia membantu merancang menangani masalah itu spesifik kepada anda.

Seperti pelajar juga, guru inginkan kejayaan. Dengan kerjasama guru dan pelajar, pasti pelajar akan cemerlang dalam Prinsip Perakaunan SPM.

Rujukan Statistik

Kertas Projek K3 Tingkatan 4 – Isi Kandungan

Berikut adalah isi kandungan yang mesti disediakan oleh pelajar.

Muka surat

  1. Perakuan Calon

  1. Penghargaan

  1. Pengenalan perniagaan

  1. Profil perniagaan

  1. Perancangan urusniaga

  1. Dokumen perniagaan

  1. Buku Catatan Pertama

  1. Lejar

  1. Imbangan Duga

  1. Penilaian Stok Akhir

  1. Penyata Pendapatan

  1. Kunci Kira-kira

  1. Rumusan

Peluang sambung belajar dalam bidang perakaunan selepas SPM

Pelajar saya bertanyakan soalan yang relevan dengan tajuk pos ini. Bagaimana nak sambung belajar dalam bidang perakaunan selepas tamat SPM 2013. Saya pernah menulis tentang perkara ini beberapa tahun lepas tetapi saya dah buang pos asal. Di kesempatan ini, suka saya berkongsi pandangan saya berkenaannya.

Pelajar lepasan SPM masa kini digalakkan menceburi bidang profesional di peringkat awal lagi. Tak lama lagi keputusan SPM 2013 akan diumumkan. Selalunya dalam bulan Mac. Pasti akan ada yang bergembira dengan keputusan keseluruhan SPM yang cemerlang, tak kurang juga yang akan mengalami pencapaian kurang memberangsangkan. Dalam hal pos ini, saya membayangkan wajah gembira yang teramat sangat kerana keputusan SPM bagi subjek Prinsip Perakaunan mendapat gred A+. Tetapi gred A- atau A, mahupun gred B dan B+ tetap dianggap cemerlang.

Ada beberapa laluan utama yang boleh dipilih oleh pelajar lepasan SPM meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan atau yang berkaitan dengan perakaunan.

  1. Sambung terus ke tingkatan 6 – keutamaan kelas yang ada menawarkan subjek Perakaunan STPM dan/atau Ekonomi STPM
  2. sambung terus ke Matrikulasi KPM aliran Perakaunan
  3. Sambung terus ke program asasi (foundation) perakaunan di IPTA atau IPTS
  4. Mengikuti program Diploma Perakaunan di IPTA atau IPTS – selalunya bagi tempoh 3 tahun.
  5. Terus ke program profesional Perakaunan ACCA di IPTA/IPTS tertentu – contohnya PolyTech MARA ada menawarkan program profesional ACCA, selain dari program diploma perakaunan.
  6. terus belajar peringkat LCCI sahaja sambil bekerja – selalunya ada pusat latihan dan peperiksaan LCCI boleh didapati di bandar-bandar utama di Malaysia. Untuk lokasi terperinci, rujuk sesawang LCCI Asia-Malaysia.

Kelebihan laluan no.5 di atas, ia setanding dengan pemegang ijazah perakaunan, malahan lebih baik lagi. Tetapi ianya tertakluk kepada kesinambungan anda menjadi ahli pertubuhan perakaunan itu dan dianugerahkan lesen perakaunan menurut Akta Akauntan 1967. Jika anda terlucut kelayakan keahlian, maka status akauntan ACCA anda turut terjejas. Dalam hal ini, maka memperoleh ijazah perakaunan lebih selamat dan menjamin kekekalan status sebagai profesional accountant.

Dalam hal Public Accountant, tidak menghairankan ada yang bermula dengan belajar di peringkat Ijazah perakaunan sebelum turut mendapatkan kelayakan ACCA untuk tahap lebih tinggi dan untuk pengiktirafan tertinggi.

Laluan no.1 hingga no.4 bolehlah dianggap laluan transit, kerana secara teknikal anda belum lagi memegang ijazah perakaunan. Selepas tamat pengajian STPM, matrikulasi, asasi atau diploma, barulah anda boleh memohon sambung belajar ke peringkat sarjana muda perakaunan/ijazah perakaunan/bacelor perakaunan (nama-nama degree itu mengikut IPTA masing-masing).

Apa yang perlu diperingkatkan ialah kepada pelajar yang mengikuti program tingkatan 6. Awak sebaiknya belajar subjek EKONOMI dan Perakaunan dan mendapat gred STPM minimum B+. Lagi tinggi lagi baik. Ianya menjadi jaminan anda ditawarkan ke ijazah perakaunan. Subjek-subjek aliran sastera tidak dapat menggantikan kedua-dua subjek tersebut atau mempunyai nilai kukuh menggantikannya. Sebagai contoh, ada IPTA boleh menerima subjek Geografi STPM sebagai syarat kelayakan gantian untuk subjek  Ekonomi atau Perakaunan asalkan mempunyai gred B ke atas. Tetapi dari segi persaingan, janganlah hairan jika lebih ramai pelajar lepasan STPM yang sambung belajar ke bidang perakaunan adalah yang mengambil subjek ekonomi dan perakaunan. Dalam kebanyakan kes, subjek seperti geografi diguna sebagai syarat kelayakan mengganti perakaunan tetapi subjek ekonomi mesti diambil oleh pelajar STPM tersebut. Permohonan hanya akan dilayan jika syarat dipenuhi.

Begitulah sedikit sebanyak, pandangan, maklumat dan cadangan saya sebagai panduan pelajar lepasan SPM untuk memutuskan apakah hala tuju mereka seterusnya. Semoga berjaya.

Peta Pemikiran iTHINK

Program iTHINK telah diperkenalkan sejak tahun 2012 di beberapa buah sekolah perintis. Pada tahun 2013, beberapa buah sekolah lagi telah dipilih sebagai sekolah perintis dan SMK Putatan adalah salah sebuah sekolah yang dipertanggungjawabkan untuk membawa iTHINK ke dalam PdP.

Sebenarnya bahan di bawah ini adalah bahan tahun lepas yang saya kongsi sekarang.

  1. Helaian Edaran contoh-contoh lapan peta pemikiran iTHINK yang saya sediakan untuk rujukan guru-guru yang melatih pelajar-pelajar ketika sesi kursus dan bengkel ithink peringkat pelajar . Muatturun contoh Cikgu Rithuwan – 8 peta pemikiran ithink  fail PDF di sini.
  2. Lagu Tema Rasmi Pelancaran Program iTHINK SMK Putatan. Liriknya dicipta bersama oleh saya, En. Rithuwan  dan Pn. Norsiah. Lagu dan melodi oleh saya juga di samping bantuan muzik Pn. Veronica. Nak dengar lagu serta membaca liriknya? Sila klik sini.
  3. Modul Contoh Peta Pemikiran iTHINK untuk Prinsip Perakaunan Tingkatan Empat : [ Bab 1 ] [ Bab 2 ] – lembaran edaran
  4. Modul Contoh Peta Pemikiran Berjawapan / Hasilan untuk Prinsip Perakaunan Tingkatan Empat : [ Satu sahaja ]

Contoh lapan peta pemikiran, thinking map, yang dijadikan rujukan seperti berikut:

peta i-think 1 - peta bulat -contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 2 - peta buih -contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 3 - peta buih berganda -contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 4 - peta pokok -contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 5 - peta dakap -contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 5 - peta dakap vs peta pokok - contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 6 - peta alir 1-contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 6 - peta alir 2-contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 7 - peta pelbagai alir -contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir peta i-think 8 - peta titi -contoh soalan dan peta pemikiran oleh cg rithuwan nasir