Tag Archives: motivasi

TAHUN 2009 TAHUN KEJAYAAN?

Ada orang kata ia mustahil. Ada orang kata dia masih tak pandai-pandai. Ada orang kata dia memang tak boleh lulus punya, apatah lagi mengenali huruf 1A.

Saya sebagai guru sedia membenarkan kata-kata mereka. Memang benar ia mustahil, tapi hanya jika mereka itu benar-benar tak belajar atau benar-benar tak berusaha bersungguh-sungguh. Memang benar ia mustahil jika kejayaan meraih 1A adalah melalui harapan sahaja. Ia memang mustahil jika mereka mengharapkan 1A datang sendiri tanpa perlu belajar.

Allah bagi akal, maka gunakan akal itu. Allah bagi peluang dan ruang, maka gunakan peluang dan ruang itu. Allah sediakan harapan, maka kita gunakan harapan itu.

Sebagai guru, tidak mustahil berjaya, tidak mustahil cemerlang, dan tidak mustahil anak-anak didik berjaya ‘memecah ruyung’, SELAGI mereka berusaha tanpa jemu, selagi mereka berani mengubah nasib mereka, selagi mereka mengamalkan kaedah belajar yang betul. Sebagai guru, kehadiran saya bukan hanya secara fizikal di hadapan kelas, tetapi juga dalam sanubari mereka dan juga minda mereka. So anak-anak didikku, percayalah kemampuan anda lebih dari yang anda bayangkan, dan ilmu perakaunan itu amat berguna kepada anda. Anda belajarlah, dan saya mengajar.

Jangan biarkan kegagalan anda yang baru sedikit menjadi alasan untuk ANDA MERANCANG KEGAGALAN YANG BERTERUSAN nanti. anda sebenarnya bijak, anda sebenarnya pandai, anda sebenarnya hebat.

NOTA = ‘MEREKA’ itu adalah anda semua, anak-anak murid yang sedang saya ajar di dalam kelas mahupun anda pelajar yang berada diluar sana yang kerap melawati blog ini. Anda adalah mereka.

Mencipta Minat belajar Prinsip Perakaunan SPM

Adakah anda dipaksa belajar Prinsip Perakaunan (PAK)? Ada pelajar cemerlang dalam PMR? Jika kedua-dua jawapannya YA, maka anda rugi! Pelajar cemerlang PMR sudah tentu diberi peluang untuk menjadi lebih cemerlang. Seperti norma pendidikan sedia ada, pelajar cemerlang akan ditawarkan masuk ke kelas sains tulen, seterusnya ditawarkan masuk ke kelas sastera ikhtisas di mana PAK adalah salah satu subjek yang ditawarkan untuk SPM, dan begitulah seterusnya. Anda masih rasa dipaksa? Okaylah, memang dipaksa, sama seperti pelajar lain pun, contohnya pelajar aliran sains tulen. Mereka juga dipaksa belajar subjek yang susah. Lagipun ramai orang boleh cemerlang dalam SPM pun walaupun tak ambil subjek killer. Ini tidak, anda dibebankan dengan subjek sukar sehingga dirasakan ‘tak adil’ kerana anda terpaksa belajar lebih keras berbanding pelajar bukan aliran sains tulen dan sastera ikhtisas.

Ops, nanti dulu. Anda sebenarnya tidak rugi, tidak dibebankan, malah sebaliknya. Anda adalah golongan yang dirasakan bijak dan mampu menguasai subjek susah. Saya pasti anda tahu kemampuan anda itu. Ya anda sememangnya mempunyai kemahiran belajar, atau daya ingatan yang kuat, atau penumpuan yang tinggi, atau kesemuanya sekali. Sebab itu, anda berjaya mengharungi PMR dengan jujur dan meraih kejayaan yang terpuji. So, salahkah pihak sekolah mengiktiraf anda sebagai kumpulan bijak dan mampu menempuh subjek killer?

Malah, anda seharusnya berasa berbangga dengan pengiktirafan ini. Tinggal lagi sekarang bagaimana anda mengatasi ‘kekejutan budaya’ memasuki tingkatan empat. Jika dipaksapun, gunakan peluang ini kerana ia adalah antara peluang terbaik untuk anda. Gantikan perasaan dipaksa dengan perasaan ingin belajar benda baru.

Mana ada budak yang sejak lahir dah tahu bagaimana menunggang basikal. Semuanya melalui proses pembelajaran yang berterusan, tetapi bermula dengan keberanian dan kerelaan. Kebanyakan kanak-kanak yang kini mahir berbasikal dahulunya dipaksa oleh ibu bapa mereka untuk mencuba. Ada yang berani ada yang penakut. Itu sudah lumrah alam. Percubaan pertama jatuh, tak dapat imbangkan diri. Nak quit? Tak boleh, ibu bapa yang prihatin akan merangsang anaknya untuk terus mencuba. Lama-kelamaan akan bertambah pandai. Kisah selanjutnya, anda dah boleh agak dah.

Sama seperti belajar PAK, sememangnya dipaksa diperingkat awal. Tapi jangan jadikan ia alasan tak nak belajar. Kami guru menawarkan kepada anda pengalaman yang berguna. Tak faham, nanti guru marah. Laa, memanglah tak faham, dah inilah pertama kali pelajar akan belajar PAK. Tak pernah kita ajar pelajar sedari Tingkatan Satu. Inilah pertama kali, so kalau tak faham tu perkara biasa. Jadi macam mana nak atasi perasaan dipaksa?

Cipta MINAT awak.

M=Main peranan I=Intelek N=Nasihat A=Akur T=Teknik

  1. Main peranan sebagai pelajar baik, jujur dan sopan santun. Belajar dan patuhi ajaran dan nasihat guru seperti juga anda belajar subjek lain. Lupakan perasaan dipaksa.
  2. Intelek awak adalah kunci kejayaan subjek ini, insyaallah. Gunakan kepandaian awak, bukannya perasaan amarah awak. Anggap saya intelek anda perlu dikembangkan dan dicabar dari semasa ke semasa.
  3. Nasihat dicari dari guru-guru pakar seperti guru kaunseling, guru mengajar dan ibu bapa sendiri, terutama kaitannya dengan kerjaya masa depan. Tahu tak, perakaunan adalah salah satu bidang profesional tertua di dunia?
  4. Akur kepada disiplin dalam perakaunan. Teknik mudah catatan bergu adalah disiplin. Catatan debit dan kredit adalah disiplin. Semuanya peraturan yang dipakai di seluruh dunia, lebih baik jangan dibantah. Ajar diri supaya akur kepada ketetapan ini, selebihnya menjadi lebih mudah dan menjadi logik.
  5. Teknik belajar yang betul hendaklah diteruskan, dan mungkin dengan sedikit pengubahsuaian yang perlu. Ingat cara dan tempoh masa belajar BM tak akan sama seperti cara dan tempoh masa belajar Matematik. Juga tidak akan sama seperti cara dan tempoh masa belajar bagi subjek Prinsip Perakaunan ini.

Last sekali, minat sebenar awak, rangsangkan dengan pelbagai cara yang boleh, sama ada melalui pergaulan sihat dengan guru mengajar dan rakan sebaya yang juga ‘enjoy’ belajar PAK. Sifu dah tau apa bezanya ‘seronok belajar’ dengan ‘minat belajar’. Anda pun akan tau kelak.

Kesimpulannya, cipta minat untuk belajar Prinsip Perakaunan. Awak takkan kerugian mempelajarinya. Minat adalah pemula kepada keseronokan belajar dan satu dari langkah mencipta kecemerlangan akademik buat diri anda sendiri. Minat umpama gula di dalam minuman. Tanpa gula, manalah manisnya sirap ros di atas meja anda itu. Jika anda tidak mahu rugi seperti sifu sebut sebelum ini, jangan biarkan anda ‘dipaksa’, jadikan anda pelajar ‘berminat’ dan cemerlang!

I know you can do it!

Now my head turns to SPM 2008

Dah selesai tugas untuk calon SPM 2007, sekarang perhatian sifu beralih kepada bakal calon SPM 2008. Yes, I am talking to you Form 4 students. Walaupun bercuti, tapi tak rugi belajarkan. Anggap aja hobi. Tak puas bercuti? Hari-hari pun cuti, so tak rugipun. Tapi jangan tertekan, relaks. Ini suggestion aja. Tak dapat belajar pun tak pa, asalkan semasa cuti ini tetap menanam azam dan motivasi kendiri yang positif. Bayangkan kejayaan pada masa akan datang. Fikirkan apakah perancangan atau strategi belajar bila buka sekolah nanti.

Sebenarnya apa yang sifu cadangkan ialah menyediakan diri dengan pemikiran positif dan membuat persediaan mental. Ia perlu supaya semangat baru akan timbul apabila buka sekolah nanti.