Category Archives: Isu Semasa

Persekolahan Pasca PKP (PKPP)

Salam.

Sekolah akan mula dibuka pada 24hb Jun 2020. Kerajaan memutuskan untuk hanya membenarkan pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam (prau) sahaja yang hadir ke sekolah. Manakala semua guru meneruskan tugas mengajar di sekolah, dengan hadir mengikut arahan yang diberikan oleh pentadbiran sekolah.

Apa yang penting ialah pematuhan kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang telah dicadangkan oleh KKM untuk kegunaan pihak sekolah.

Namun, apa yang merisaukan saya secara peribadi ialah apakah kaedah terbaik mengelak dari terkena atau mengenakan (dijangkiti atau menjangkiti) virus COVID-19 jika berlaku di sekolah.

Guru-guru dan pelajar, pastinya bukan ‘frontliner’ yang berpengalaman mengendalikan kes jangkitan dalam jumlah yang ramai.

Apa-apapun, kita semua tunggu dan lihat.

Prinsip Perakaunan Tingkatan 4 Sesi 2017 yang baru

Mulai sesi persekolahan 2017, mata pelajaran elektif termasuk Prinsip Perakaunan, akan menggunakan sukatan pelajaran yang baharu. Ia dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Sila muatturun DSKP Prinsip Perakaunan (mulai 2017). Pelajar-pelajar digalakkan membaca DSKP ini untuk menilai sama ada anda berminat untuk mengikuti pengajian/pembelajaran Prinsip Perakaunan SPM 2018, atau tidak.

Secara ringkasnya, saya suka mengetengahkan beberapa penambahbaikan bagi subjek ini:

  1. Isi kandungan kitaran perakaunan lebih lengkap
    1. Catatan jurnal dan lejar untuk menutup akaun hasil dan belanja akaun perdagangan dan untung rugi
    2. pemindahan untung bersih ke akaun modal kini wajib diajar – jurnal dan lejar
    3. kaedah catatan jurnal dan lejar akaun stok/inventori juga diajar
  2. Agihan waktu mengajar telah berubah kepada hitungan JAM. Diperuntukkan 3 Jam seminggu = 180 minit.
  3. Bab dan topikal kini ditukar kepada Modul pembelajaran
  4. Pentaksiran murid dibuat sepanjang tahun, dari Tahap 1 hingga Tahap 6.
  5. Untuk mencapai Tahap 6 memerlukan murid perlu menguasai simpankira – pendekkata mesti cekap kitaran perakaunan

 

Mesej kepada Ibu bapa murid PP TIngkatan 4 2017

Jika anda merancang untuk membeli buku berkaitan Prinsip Perakaunan (PP), tolong diri anda, JANGAN BELI SEKARANG. Belum ada buku rujukan mahupun buku latihan PP tingkatan 4 yang menepati DSKP baharu itu. Kecualilah anda berlatarbelakangkan bidang perakaunan, maka mana-mana buku pun boleh digunakan untuk mengajar anak anda, selain dari itu, lebih baik baca dahulu DSKP seperti link di atas dan bandingkan dengan buku sedia ada di pasaran.

Kami sendiri belum memperoleh buku teks baharu untuk menyiapkan diri ke tahun hadapan. Tapi tak apalah, kerana kebetulannya majoriti guru sibuk menyemak kertas peperiksaan akhir tahun, atau menyiapkan murid menghadapi SPM yang bakal menjelang tak lama lagi.

 

Mesej kepada Guru-guru PP Tingkatan 4 2017

Mengambil kira keperluan membimbing murid mencapati TAHAP 6, saya merancang menerbitkan buku kerja khas yang merangkumi Kitaran Perakaunan dari dokumen sumber hinggalah Penutupan Akaun.

InsyaAllah, jika menjadi kenyataan, saya akan menawarkannya kepada guru-guru Tingkatan 4 sebagai buku gerakkerja tambahan. Maklumat lanjut akan dipaparkan di blog ini, insyaAllah.

 

 

 

HARI GURU 2016

SELAMAT HARI GURU

TEMA HARI GURU 2016 :: Guru Pembina Negara Bangsa

Kenapa Sambutan Hari Guru di Malaysia jatuh pada tanggal 16 Mei setiap tahun?

Berikut adalah petikan maklumat seperti dipaparkan di wikipedia.

“This date was chosen because on the same day in 1956, the Federal Legislative Council of the Federation of Malaya endorsed the Razak Report, one of four reports of the Education Committee regarding education in Malaysia. The document, known as the Razak Report after Tun Abdul Razak who was Education Minister at the time, has been the basis of education in Malaysia ever since. Although it is not an official school holiday, celebrations are usually held on 16 May, or earlier if it falls on a Saturday or Sunday.”

Terjemahannya :

Tarikh tersebut dipilih kerana pada hari yang sama pada tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Persekutuan Tanah Melayu telah menerima Laporan Razak, salah satu dari empat laporan Jawatankuasa Pelajaran berkaitan pendidikan di Malaysia. Dokumen itu, dikenali sebagai Laporan Razak, bersempena nama Tun Abdul Razak, Menteri Pelajaran pada masa itu, dijadikan dasar pelajaran di Malaysia sejak itu. Walaupun ia bukan cuti sekolah rasmi, sambutannya diadakan pada 16 Mei, atau lebih awal jika jatuh pada hari Sabtu atau Ahad.

 

Keterangan tentang Hari Guru juga boleh didapat di laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia di sini.

 

Saya dapati sambutan rasmi Hari Guru di Malaysia difokuskan kepada golongan yang mengajar sebagai kerjaya mereka.

Guru bukanlah hanya guru di sekolah dan pensyarah/pengajar di IPT. Golongan pengajar seperti guru mengaji (al-Quran dan hadis) di masjid-masjid atau surau-surau, jurulatih-jurulatih kemahiran, guru-guru sekolah pondok, dan individu yang mengajar satu atau lebih ilmu kepada individu atau sekumpulan tentang apa-apa ilmu yang bermanfaat. Ini termasuklah guru pertama kita semua, iaitu ibu kita.

 

 

Apa hukumnya menyambut HARI GURU? Ada tak fatwa rasmi Majlis Fatwa di negara kita?

Saya tak terjumpa fatwa khusus dari Majlis Fatwa kerana e-fatwa dalam selenggaraan. Walau bagaimanapun, jawapan UAI, ianya harus, seperti kenyataannya di dalam video ini. Wallahu’alam.

Namun kita (guru-guru) dinasihatkan, memastikan sambutan itu tidak bertentangan dengan Islam. Semoga Allah memberkati kerjaya guru ini dan melindungi kita dari perkara-perkara yang syubahat mahupun jelas haram yang membatalkan pahala dan amal soleh kita. Harapan kita, guru-guru Islam, penyampaian ilmu melalui kerjaya ini, tertunai dan diterima oleh Allah sebagai salah satu yang dibawa ke alam barzakh, ‘ilmu yang bermanfaat’.

Ya Allah, terimalah amalan keduniaan kami sebagai usaha akhirat kami. Jauhkan diri kami, dan hati kami, dari terpesong jauh dari matlamat kejayaan untuk hari akhirat.

Sudahkah kita guru-guru juga sediakan Headcount amalan sendiri? SWOT sendiri? Bah, marilah sama-sama kita. InsyaAllah, guru tatap guru, iaitu guru yang berilmu dan beriman. Saya percaya, itulah harapan kita semua. Kita amin-kan sama-sama. Amin.

Pengumuman Keputusan SPM 2015

SPM 2015: Calon peroleh A menurun

PUTRAJAYA – Seramai 9,721 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 mendapat keputusan cemerlang (Gred A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran, namun menurun 0.25 peratus berbanding 11,289 calon pada 2014.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata Indeks Gred Purata Nasional (GPN) 2015 turut mencatatkan penurunan 0.07 kepada 5.15 berbanding 5.08 pada 2014.

Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

“Penurunan jumlah calon yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dan penurunan GPN bukan satu kelemahan yang ketara dan signifikan. Ia adalah dalam julat yang dibenarkan iaitu 3 peratus,” katanya dalam sidang media bagi mengumumkan analisis keputusan SPM 2015, di sini hari ini.

“Ia juga menggambarkan turun naik prestasi murid dan berlakunya fluctuation (turun naik). Penurunan ini juga dipengaruhi jumlah calon yang menduduki SPM 2015 yang lebih rendah iaitu 440,682 calon berbanding 455,839 calon pada tahun 2014,” katanya.

Khair berkata faktor yang turut menyumbang kepada penurunan calon yang mendapat keputusan cemerlang dan GPN ialah perubahan dalam format soalan.

“Sekarang ada soalan aras tinggi berbanding sebelum ini, yang soalan sekarang memerlukan kemahiran berfikiran kreatif,” katanya.

Berdasarkan analisis keputusan, Indeks GPN menunjukkan penurunan iaitu dari 4.93 pada tahun 2013 kepada 5.08 (2014) dan 5.15 (2015).

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan meneruskan usaha dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Saya percaya setiap negeri akan membuat analisis di negeri masing-masing dan menilai kaedah pengajaran guru sama ada sesuai dengan keperluan kurikulum, pentaksiran dan sejauh mana murid-murid (pelajar) menguasai soalah-soalan yang diberikan.

“Dua perkara yang akan diberi fokus ialah kaedah guru mengajar dan cara murid belajar. Kita akan memastikan berlakunya peningkatan kemajuan,” kata Khair.

Pada tahun lepas, beliau berkata seramai 346,681 calon (84.9 peratus) yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran layak dianugerahkan sijil, dengan 316,506 orang (91.3 peratus) ialah calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), manakala selebihnya 30,175 (8.7 peratus) adalah calon selain sekolah KPM.

Beliau berkata jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar mengecil 0.05 iaitu 0.50 pada 2015 berbanding 0.55 pada 2014.

Dalam pada itu, tujuh calon berkeperluan khas memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki, seorang pelajar buta, rabun (empat orang) dan lain-lain kecacatan (dua), katanya.

Sementara itu Khair berkata pakar pentaksiran dari luar negara berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen, pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan dan Mesyuarat Penentuan Standard telah dilaksanakan dengan penuh profesionalisme dan kredibiliti

Pakar pentaksiran berkenaan kialah daripada Cambridge International Examinations (CIE), United Kingdom, New Zeland Qualifications Authority (NZAQ), New Zealand dan Pearson, United Kingdom, kata Khair.

“Mereka juga berpendapat bahawa kesemua proses tersebut menepati ciri-ciri piawaian pentaksiran pendidikan dan telah diurus secara sistematik bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan keputusan peperiksaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan CIE United Kingdom memberi peluang kepada 211,179 calon (51.9 peratus) berjaya memperoleh GCE-O Level bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris pada tahun 2015.

“Sijil tersebut yang diiktiraf oleh Common European Framework of Reference (CEFR) for Languages membolehkan calon berkelayakan SPM melanjutkan pelajaran ke inistitusi pengajian tinggi di luar negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata 43,896 calon daripada sejumlah 76,072 calon menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan layak menerima sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account, kerjasama Lembaga Peperiksaan dan Pearson, UK.

Khair berkata calon boleh menyemak keputusan SPM 2015 mereka melalui khidmat pesanan ringkas (mySMS) atau melayari portal Lembaga Peperiksaan di http://www.lp.edu.my. – Bernama

Sumber berita : http://www.sinarharian.com.my/nasional/spm-2015-calon-peroleh-a-menurun-1.492111

S

Membina kerjaya bidang perakaunan melalui laluan terbaik

Kerangka asas :

1. Pelajar lepasan SPM yang mengambil subjek Prinsip Perakaunan dan berminat menceburi bidang perakaunan sehingga menjadi Akauntan.

2. Semua individu yang nak jadi akauntan mesti menjadi ahli MIA samaada secara langsung atau melalui keahlian badan profesional yang diiktiraf DAN mempunyai pengalaman berkaitan amalan perakaunan sekurang-kurangnya TIGA TAHUN.

3. Pengalaman bekerja dikumpul dari mula bekerja bidang berkaitan perakaunan dan kewangan sama ada selepas ACCA atau sebelum ACCA atau semasa mengambil/belajar ACCA.

4. Andaian perbincangan, individu tersebut tamat pengajian dengan berjaya dan menepati syarat menyambung belajar ke peringkat seterusnya.

 

Laluan yang mungkin :

1. Matrikulasi aliran perakaunan

2. PraU aliran sastera (subjek Ekonomi, Perakaunan STPM)

3. Diploma Perakaunan

4. CAT-ACCA

 

Tempoh belajar selepas SPM hingga ke ACCA Qualification (minimum):

1. Matrikulasi -> Ijazah perakaunan -> ACCA <==> 1 + 4 + 2 = 7 tahun

2. PraU -> Ijazah Perakaunan -> ACCA <==> 2 + 4 + 2 = 8 tahun

3. Diploma Perakaunan -> Ijazah Perakaunan -> ACCA <==> 3 + 4 + 2 = 9 tahun, atau 3 + 3(pengecualian kredit) + 2 = 8 tahun

4. CAT-ACCA -> ACCA <==> 1 + 2 = 3 tahun, atau 1 1/2 + 2 1/2 = 4 tahun

5. Diploma Perakaunan/Bukan perakaunan -> CAT-ACCA -> ACCA <==> 3 + 1 + 2 = 6 tahun

6. Matrikulasi -> CAT-ACCA -> ACCA <==> 1 + 1+ 2 = 4 tahun

2. PraU -> CAT-ACCA -> ACCA <==> 2 + 1 + 2 =5 tahun

 

Kesimpulan:

Untuk laluan pantas ke kerjaya Akauntan, pilihan laluan 4 adalah terpantas. Sijil Matrikulasi dan STPM tidak diiktiraf untuk terus ke program ACCA Qualification. Oleh itu, pemegang sijil tersebut tetap menduduki CAT-ACCA sehingga selesai, 1 hingga 1 1/2 tahun.

Tambahan:

Graduan Ijazah Perakaunan yang baru graduat berpeluang dikecualikan beberapa paper ACCA, memungkinkan ia tamat lebih awal.

Semua akauntan mesti menjadi ahli MIA dan telah melengkapkan syarat bekerja bidang perakaunan atau berkaitan selama tiga tahun.

Usaha Pindaan Akta Akauntan 1967 memberi Implikasi Implisit Mengekang kaum Bumiputera ke Bidang Perakaunan?

Ini adalah petikan akhbar yang membawa kepada kerisauan saya.

Pihak berkepentingan didakwa cuba pinda Akta Akauntan 1967

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Hasrat kerajaan menghasilkan lebih ramai golongan profesional Melayu dan bumiputera dalam bidang perakaunan dikhuatiri terjejas disebabkan tindakan Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang dikatakan cuba meminda Akta Akauntan 1967.

Pindaan itu akan menyebabkan taraf Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lebih rendah berbanding yang ditawarkan badan profesional di luar negara.

Pengerusi Majlis Dekan-Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, Profesor Dr. Kamil Md. Idris mendakwa, usaha tersebut turut merendahkan martabat universiti tempatan yang selama ini mematuhi dengan ketat setiap peraturan dikeluarkan Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) dan Standard Pendidikan Antarabangsa (IES).

Dakwa beliau, penyediaan pelan tindakan khas atau ‘blue print’ bagi meminda akta tersebut bermula selepas badan-badan profesional termasuk dari luar negara yang menjadi anggota MIA dan berorientasikan keuntungan mungkin terjejas akibat ramai pelajar memilih untuk masuk IPTA kerana yurannya yang murah.

Beliau mendakwa, beberapa Ahli Lembaga Pengarah MIA yang berlatar belakangkan kelulusan badan profesional berkenaan telah mengabaikan pandangan daripada wakil IPTA yang mempunyai hak bersuara dalam setiap dasar berhubung pendidikan perakaunan negara.

“Organisasi profesional perakaunan ini rata-rata berteraskan perniagaan. Maksudnya, sesiapa yang mengambil peperiksaan dengan mereka dikenakan yuran yang tinggi dan perlu dibayar mengikut nilai mata wang pound sterling atau kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 untuk menduduki peperiksaan mereka bergantung kepada tahap masing-masing.

“Sedangkan di IPTA, bayaran tahunan kursus perakaunan cuma di antara RM2,000 ke RM3,000 selepas menerima subsidi sehingga RM16,000.

“Maksudnya, ada kemungkinan ini satu strategi perniagaan dengan menggunakan keahlian dalam MIA untuk membantu organisasi profesional. Amat menyedihkan apabila Jawatankuasa Pendidikan dalam MIA yang sepatutnya ada lima wakil IPTA telah dikeluarkan ketika mereka menghasilkan pelan tindakan khas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamil yang juga Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sekiranya usaha MIA itu berjaya, taraf kelulusan siswazah akauntan IPTA berada di kelas kedua dan sesiapa yang masih berhajat untuk menjadi akauntan bertauliah terpaksa mengambil peperiksaan dengan badan-badan profesional berkenaan dengan membayar kos yang terlalu tinggi.

Tegasnya, siswazah IPTA yang paling terkesan dengan penggubalan akta itu adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menjadi gedung melahirkan akauntan bertauliah dengan jumlah graduan perakaunan sebanyak 1,600 hingga 1,800 orang pada setiap tahun.

“Akta itu adalah kawalan untuk menjadi akauntan bertauliah mesti menjadi ahli MIA. Untuk menjadi ahli kena lulus dengan universiti tempatan atau badan profesional seperti termaktub dalam jadual dalam Akta Akauntan 1967 iaitu senarai universiti dan organisasi yang mendapat pengiktirafan.

“Apa yang berlaku sekarang mereka tidak mahu lagi menggunakan jadual itu dan guna syarat baharu. Maksudnya disebabkan taraf kelayakan di IPTA menjadi rendah, graduan kita terpaksa menempuh dua fasa peperiksaan yang selama ini tidak ada yang turut bererti IPTA seolah-olah tidak ada guna langsung,” tegasnya.

Tambah Kamil, meskipun pindaan akta berkenaan belum berjaya, namun pihak-pihak berkepentingan telah mencadangkannya kepada menteri berkaitan sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita juga tidak menghalang sebarang usaha Kementerian Pendidikan tetapi apa yang kerajaan tidak tahu adalah proses itu dibuat secara halus dengan menurunkan taraf ijazah kita,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140911/dn_08/Pihak-berkepentingan-didakwa-cuba-pinda-Akta-Akauntan-1967#ixzz3D6ggGusi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Walaupun kecil pada pandangan orang luar bidang perakaunan, tetapi ia adalah isu besar kepada dalam jangka panjang.