Monthly Archives: Januari 2011

Mengajar Silibus baru Prinsip Perakaunan SPM Best

Buku teks baharu subjek Prinsip Perakaunan hanya tiba dalam bulan Disember 2010 (setakat yang saya dimaklumkan) dan tak sempat diedarkan terlebih awal kepada pelajar-pelajar Prinsip Perakaunan tahun lalu (tingkatan empat). Sebagai guru, saya tercari-cari buku tersebut di kedai-kedai buku tetapi hampa. Cadangan nak membaca terlebih dahulu buku tersebut sewaktu cuti sekolah terkubur.

Akhirnya pada minggu pertama, lebih tepat lagi hari rabu, 5 Januari 2011, dengan campur tangan ketua panitia prinsip perakaunan, maka dapatlah buku teks baharu tersebut dipinjamkan kepada pelajar tingkatan 5 yang mengambil Prinsip Perakaunan SPM 2011 ini. Buku lama dikembalikan dan digantikan dengan buku baharu tersebut.

Setakat ke hari ini, saya telah mengajar selesai mengajar bab 8, yang melibatkan kemahiran penyediaan Penyata Penyesuaian Bank dan Belanjawan Tunai berserta Varian. Dalam bab ini, topik pengiraan varian adalah yang pengisian terbaru. Tetapi ia masih mudah kerana ia hanya melibatkan pengiraan perbezaan antara angka belanjawan dengan angka sebenar yang sedia diberikan. Selepas itu penetapan sama ada ia adalah positif/memuaskan ataupun negatif/tidak memuaskan. Pentafsiran atau penerangan lanjutan tidak diperlukan. Menarik!

Bab 9 di mana akan dimulai minggu hadapan melibatkan bab baru keseluruhannya iaitu Perakaunan untuk Penggajian. Ini merupakan bab yang menyeronokkan. Guru mestilah membaca dahulu keseluruhan bab ini. Saya sendiri menggalakkan rakan-rakan guru supaya mencuba menjawab soalan-soalan tersebut terlebih dahulu agar tidak kalut di dalam kelas nanti.

Apa yang bestnya mengajar silibus baru Prinsip Perakaunan ni? Kepada saya apa-apa yang berkaitan perakaunan memang best. Apatah lagi dengan peningkatan taraf dan pengemaskinian silibus dan buku teks baharu yang memperbetulkan semua kekilafan lama. Contohnya, Peruntukan susut nilai adalah kekhilafan yang terpakai bertahun-tahun lamanya sedangkan jelas dalam penggunaan sebenar perakaunan, istilah yang diguna pakai ialah SUSUT NILAI TERKUMPUL. Mulai tahun 2011, istilah inilah yang akan dipakai. Barulah best! Barulah boleh mengguna pakai ilmu yang diperolehi di universiti dahulu, tanpa keraguan.

Sebab itulah saya katakan silibus baru kali ini BEST!!!

Tetapi nak kongsi ‘RALAT’ di sini. Soalan Kajian Kes Bab 8 ada kesilapan cetakan yang amat ketara. Perhatikan soalan tersebut. Bulan yang disoal tidak sama dengan maklumat (jadual) yang diberikan. Begitu juga perkataan ‘Jumlah Tunai’, pada pandangan saya, sepatutnya diganti dengan perkataan ‘JUALAN TUNAI’, sesuai dengan pengisian topik belanjawan tunai dan varian yang direka untuk tahap SPM.

Sekadar berkongsi kegembiraan. Memang Best!

Memperdanakan Program Diploma sebagai pilihan utama lepasan SPM 2010

Diploma perkasa
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2011/01/15

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 Ke-7 di Pusat Dagangan Terengganu, semalam. - Foto Aswadi Alias

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 Ke-7 di Pusat Dagangan Terengganu, semalam. – Foto Aswadi Alias

148,500 tempat untuk lepasan SPM di IPTA

KUALA TERENGGANU: Program peringkat diploma yang sebelum ini dilihat sebagai pilihan kedua atau ketiga akan diperkasakan supaya menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Berikutan itu, katanya, tempoh pengajian program diploma akan dipendekkan tidak melebihi dua setengah tahun berbanding tiga tahun ketika ini, selain menggalakkan pelajar mengikuti diploma di Politeknik yang menawarkan yuran pengajian jauh lebih rendah iaitu anggaran RM400 setahun, berbanding hampir RM1,000 setahun di universiti awam.

Kementerian mahu pelajar lepasan SPM tidak hanya bertumpu kepada program matrikulasi dan asasi sains, tetapi juga menjadikan program diploma sebagai pilihan utama mereka.

Kementerian akan berusaha memartabatkan diploma menerusi pengiktirafan badan profesional dalam dan luar negara, manakala graduannya diiktiraf pada peringkat antarabangsa, katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U kali ketujuh di Pusat Dagangan Terengganu di sini, semalam. Karnival dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau turut mengumumkan 148,500 tempat untuk kemasukan lepasan SPM atau setaraf di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini. Daripada jumlah itu, 14,000 tempat untuk program asasi di IPTA, diploma IPTA (34,000), diploma politeknik (51,000), sijil di kolej komuniti (11,000) serta sijil di institut latihan kemahiran awam (ILKA) sebanyak 38,500.

Katanya, jumlah itu daripada 469,500 tempat secara keseluruhan yang disediakan, selain di IPT swasta (IPTS) dan peluang pendidikan lanjutan lain seperti Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Kementerian Pelajaran serta Program Persediaan ke Luar Negara secara tajaan.
Mohamed Khaled berkata, kementerian juga sedang mengkaji beberapa cadangan pelaksanaan bersesuaian, termasuk menambah program diploma yang baru di IPTA dan politeknik.

Program diploma menawarkan fleksibiliti kepada pelajar kerana selepas menamatkan pengajian, mereka mempunyai pilihan sama ada menyambung ke peringkat lebih tinggi atau terus bekerja. Pelajar yang mempunyai diploma juga ada kelebihan kerana mereka diberi laluan khas untuk menyambung pengajian di universiti teknikal (MTUN), katanya.

Katanya, langkah memperkasakan program diploma juga dapat menyediakan graduan berkelayakan untuk memenuhi program kemahiran dan teknikal di universiti teknikal serta meluaskan kebolehpasaran graduan diploma kemahiran dan teknikal selaras matlamat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Karnival Jom Masuk U tahun ini untuk pertama kalinya menawarkan program sijil dan sijil lanjutan. Ini berikutan Kementerian Pengajian Tinggi sudah diberi mandat untuk mengendalikan Pusat Pengambilan Setempat bagi program sijil dan sijil lanjutan, di samping diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan 27 Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau TEVT serta ILKA, katanya.

[sumber berita : Berita Harian online – 15/1/2011 di sini]

Lepasan SPM sambung belajar di peringkat diploma dan sijil

Peluang lepasan SPM sambung belajar

Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 14 Jan. – Mulai tahun ini, lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang menyambung pengajian di peringkat diploma dan sijil apabila kerajaan menawarkan lebih 148,500 tempat di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan sejumlah 14,000 tempat bagi pengambilan kursus asasi dan 34,000 tempat untuk diploma di IPTA.

Selain itu jelasnya, sebanyak 51,000 tempat ditawarkan untuk diploma di politeknik dan 11,000 tempat bagi peringkat sijil di kolej-kolej komuniti serta 38,500 tempat untuk sijil di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Beliau menjelaskan, peluang julung kali itu ditawarkan sempena Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 ‘Jom Masuk U’ yang membawa pendekatan 1Malaysia: Pendidikan Untuk Semua, yang bermula di sini hari ini.

“Penganjuran karnival kali ini akan membantu memastikan semua pelajar lepasan SPM dan setaraf dengannya memperoleh pendidikan lanjutan termasuk bidang kemahiran dan teknikal.

“Peluang ini juga untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran karnival tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.

Karnival dua hari berakhir esok itu dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mohamed Khaled berkata, jumlah tempat yang ditawarkan itu merupakan sebahagian daripada 469,500 tempat yang disediakan untuk lepasan SPM atau setaraf selain di IPTS.

“Ia juga memberi peluang pendidikan lanjutan lain seperti tingkatan enam, matrikulasi, program ijazah sarjana muda pendidikan dan program persediaan ke luar negara secara tajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, kementeriannya juga merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA bagi memperkasakannya sebagai salah satu pilihan pelajar lepasan SPM.

Sumber utama : Utusan Online – 15hb Januari, 2011.

Selamat Tahun Baru 2011 dan Selamat Kembali ke Sekolah

Saya mengucapkan selamat tahun baru 2011 kepada semua rakan guru dan pelajar-pelajar yang mengenali saya.

Kepada rakan-rakan sekerja, selamat menjalankan tugas esok. Eh, lupa pula, kitakan dah mula bertugas Jumaat lepas (31/12/2010) iaitu hadir mesyuarat pertama sesi persekolahan 2011.

Kepada semua pelajar, tak kiralah pelajar sekolah manapun, selamat kembali ke sekolah. Hadirlah dengan keazaman yang positif untuk belajar dan dibimbing oleh guru anda. Kami mengajar bukan hanya kerana ia tugas tetapi juga kerana ia dedikasi kami. Begitu juga pelajar, belajarlah bukan hanya kerana arahan ibu bapa tetapi kerana kamu mahukan peningkatan ilmu dalam diri, peningkatan kecekapan dan kebolehan dalam bidang akademik dan bidang-bidang lain.

Hanya dengan kehadiran kedua-dua belah pihak secara positif, dan melalui sokongan pihak ketiga iaitu ibu bapa pelajar (dan ahli PIBG tentunya), maka usaha mencipta kejayaan dalam pelbagai lapangan akan menjadi lebih baik, lebih mudah, dan lebih berkualiti.

Belajarlah kerana ia sememangnya khas untuk anda.