Tag Archives: prestasi prinsip perakaunan

Prestasi Prinsip Perakaunan SPM 2007 anak didik

Sifu tertanya-tanya keputusan SPM anak-anak didik. Bagaimana dengan prestasi mereka dalam semua subjek, khususnya Prinsip Perakaunan. Di sekolah sifu bertugas menyusun kerusi meja untuk memudahkan proses agihan slip keputusan pelajar-pelajar. Selepas itu sifu bebas bergaul dan berbual dengan pelajar.

Dari laporan analisis SPM yang sempat disalin ketika dalam bilik Penolong Kanan Pentadbiran 1, inilah prestasi anak didik sifu (2 kelas). Pendek kata, memberangsangkan!

Bilangan calon Prinsip Perakaunan SPM ialah 53 orang.

1A – 12 org, 2A – 5 org
3B – 4 org, 4B – 10 org
5C -6 org, 6C – 6 org
7D – 5 org, 8E – 4 org
9F – 1 org sahaja

Sungguh malang, hanya 1 orang yang gagal. Adakah sifu sudah gagal sebagai guru? Sifu sendiri kurang pasti, tetapi perasaan kesal tetap ada kerana adanya pelajar yang gagal subjek prinsip perakaunan ini. Sifu sayangkan kesemua 53 orang pelajar dan dalam sanubari sifu tidak sepatutnya ada yang tertinggal jauh di belakang.

Moto sifu ialah “NO ONE LEFT BEHIND” yang bermakna tiada sesiapa akan dibiarkan tertinggal, kecundang ataupun gagal. Kami, pelajar-pelajar dan sifu sendiri, telah sama-sama berganding bahu berusaha mencemerlangkan kumpulan pelajar tahun 2006/07 dan hasilnya adalah seperti yang anda boleh lihat di atas. Dua tahun sifu bersama mereka sebagai guru, mentor, jurulatih, motivator, strategis, perancang, dan sebagai bapa mereka.

Daripada 53 orang calon, 43 orang mencapai tahap kepujian dan ke atas. To be honest, they deserved it. They worked hard, follow all my adviced and my teaching, which is a blessing. Sifu sungguh bertuah mendapat kumpulan pelajar yang bermotivasi untuk mencemerlangkan diri masing-masing. Kegembiraan jelas terpapar di wajah mereka. Ada yang menangis kegembiraan kerana bukan sahaja mendapat 1A dalam subjek PAK, tetapi juga subjek lain. Sifu sendiri terharu dengan ucapan terima kasih mereka kepada sifu. Siapalah sifu ini, tanpa kesungguhan dan ketekunan mereka sebagai pelajar, mungkin sifu sendiri akan kehilangan motivasi mengajar. Hati sifu juga tersentuh apabila ada juga pelajar yang lebih kerap lulus dalam peperiksaan di sekolah, dengan usahanya yang gigih, telah mendapat tahap kepujian 6C, ada yang 5C dan ada yang lebih baik dari itu.

Sudah tentu semua ini adalah atas izin Allah swt jua yang membuka hati dan melapangkan dada anak-anak bimbingan sifu dan memudahkan sifu memahamkan mereka.

Kepada yang berjaya terimalah ucapan tahniah dari sifu, kepada yang kecundang atau gagal, maafkan sifu kerana telah gagal mengangkat prestasi dan membangkitkan motivasi anda. Tetapi sedarlah kegagalan kali ini tidak bermakna gagal selama-lamanya. Kerap kali pengajaran sebegini lebih baik kepada individu yang berani mengakui kelemahan sendiri dan bangkit membuat perubahan diri.

JANGAN LUPA KEMAS KINI permohonan online anda, matrikulasi atau diploma. I love you all.

Sifu juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengunjung blog ini. Secara tak langsung kehadiran dan komen-komen anda membangkitkan motivasi sifu sebagai guru yang kemudiannya diterjemahkan di dalam kelas. Sifu sangat berharap motivasi diri ini akan berterusan, yang tentunya dengan bantuan dan sokongan anda semua, baik guru mahupun pelajar-pelajar sekolah lain. Kehadiran kita di dunia maya pastinya dengan matlamat yang sama iaitu memberi ruang dan peluang anak-anak murid kita berjaya dalam bidang perakaunan yang kita minati ini.

Sekian, terima kasih.

Advertisements