Info Penting : Masalah Melamin dalam Produk Makanan Malaysia

Sifu terdorong atas dasar tanggungjawab kepada semua pelajar yang bakal menduduki SPM. Maklumlah jika anda jatuh sakit, maka prestasi akademik anda umpama di hujung tanduk.

Sila baca petikan akhbar Utusan Malaysia Online ini yang bertajuk “Melamin : Larangan import agen penaik `Ammonium Bicarbonate’ dari China”.

Sifu turut menyalin-petik semula ke pos ini sebagai arkib,

PUTRAJAYA 16 Okt. — Kerajaan hari ini melarang serta-merta pengimportan agen penaik ’ammonium bicarbonate’ dari negara China berikutan bahan itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, bahan penaik itu yang diimport dari negara-negara lain pula diletakkan di bawah pemeriksaan rapi sebelum dibenar masuk ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, tindakan larangan itu diambil apabila analisis yang dilakukan terhadap sampel produk dua kilang biskut tempatan, Khong Guan di Johor dan Khian Guan di Pulau Pinang mendapati 18 daripada 47 sampel biskut yang dianalisa melebihi tahap melamin yang dibenarkan iaitu 2.5 mg/kg atau 2.5 ppm.

“Hasil analisis menunjukkan hanya agen penaik ’ammonium bicarbonate’ mengandungi paras melamin yang tinggi iaitu 33.4 ppm bagi kilang biskut jenama Khong Guan dan 508 ppm bagi kilang biskut jenama Khian Guan, dan sumber ’ammonium bicarbonate’ bagi kedua-dua kilang biskut itu adalah dari negara China,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Serentak itu, Liow berkata kementerian telah mengarahkan 12 biskut jenama Khong Guan iaitu Biskut Soda, Biskut Lemon Puff, Biskut Lemon Pof, Biskut Butter Cream, Biskut Baby Fish, Biskut Healthy Cracker, Biskut Cocoa Puff, Biskut Sandwich Oren, Biskut Family Crackers, Biskut Bentuk Binatang, Biskut Gulung dan Biskut Mini Puff ditarik balik dari pasaran.

Enam biskut berjenama Khian Guan iaitu Biskut Creamy Chocolate, Biskut Lemon Puff, Biskut Square Puff, Biskut Cocoa Puff, Biskut Jagung Puff dan Biskut Campuran (Party) turut menghadapi tindakan yang sama, dan kementerian akan memantau dan memusnahkan mana-mana biskut itu jika masih berada di pasaran, katanya.

“Kami juga meminta mereka (Khong Guan dan Khian Guan) untuk menarik balik produk mereka yang lain secara sukarela sehingga ia mendapat kebenaran dari kementerian, dan mereka memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Liow berkata, kementerian sedang mengenal pasti pengimport, pengedar dan pembekal ’ammonium bicarbonate’ dari negara China, selain menjalankan pemeriksaan terhadap kilang biskut di seluruh negara dan jika terdapat ’ammonium bicarbonate’ dari negara China digunakan, ’ammonium bicarbonate’ dan biskut berkenaan akan disita dan sampel akan diambil bagi tujuan analisis. — Bernama

Apa yang merisaukan sifu ialah kita belum dimaklumkan kesan sebenar kepada kesihatan manusia kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kita dah mendengar berita buruk kesan melamin ke atas bayi! Oleh itu nasihat sifu adalah supaya berhati-hati. Maklumkan kepada ibu bapa anda tentang berita ini, dan bertindaklah sewajarnya. Perlu jelas di sini, Kementerian Kesihatan juga sedang memantau kilang-kilang pengeluaran produk makanan yang lain. Sementara itu, anda sendiri bantulah ibu menyiasat adakah produk ‘tepung penaik’ yang mengandungi ammonium bikarbonat ada di dalam rumah anda, dan jika ia dibuat dari China, fikirkanlah keputusan yang sewajarnya anda sekeluarga lakukan.

Sifu amat berharap info ini membantu kita semua. terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana pemantauan yang berterusan terhadap masalah pemakanan yang sedang kita hadapi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: