Mengajar Silibus baru Prinsip Perakaunan SPM Best
Buku teks baharu subjek Prinsip Perakaunan hanya tiba dalam bulan Disember 2010 (setakat yang saya dimaklumkan) dan tak sempat diedarkan terlebih awal kepada pelajar-pelajar Prinsip Perakaunan tahun lalu (tingkatan empat). Sebagai guru, saya tercari-cari buku tersebut di kedai-kedai buku tetapi hampa. Cadangan nak membaca terlebih dahulu buku tersebut sewaktu cuti sekolah terkubur.
Akhirnya pada minggu pertama, lebih tepat lagi hari rabu, 5 Januari 2011, dengan campur tangan ketua panitia prinsip perakaunan, maka dapatlah buku teks baharu tersebut dipinjamkan kepada pelajar tingkatan 5 yang mengambil Prinsip Perakaunan SPM 2011 ini. Buku lama dikembalikan dan digantikan dengan buku baharu tersebut.
Setakat ke hari ini, saya telah mengajar selesai mengajar bab 8, yang melibatkan kemahiran penyediaan Penyata Penyesuaian Bank dan Belanjawan Tunai berserta Varian. Dalam bab ini, topik pengiraan varian adalah yang pengisian terbaru. Tetapi ia masih mudah kerana ia hanya melibatkan pengiraan perbezaan antara angka belanjawan dengan angka sebenar yang sedia diberikan. Selepas itu penetapan sama ada ia adalah positif/memuaskan ataupun negatif/tidak memuaskan. Pentafsiran atau penerangan lanjutan tidak diperlukan. Menarik!
Bab 9 di mana akan dimulai minggu hadapan melibatkan bab baru keseluruhannya iaitu Perakaunan untuk Penggajian. Ini merupakan bab yang menyeronokkan. Guru mestilah membaca dahulu keseluruhan bab ini. Saya sendiri menggalakkan rakan-rakan guru supaya mencuba menjawab soalan-soalan tersebut terlebih dahulu agar tidak kalut di dalam kelas nanti.
Apa yang bestnya mengajar silibus baru Prinsip Perakaunan ni? Kepada saya apa-apa yang berkaitan perakaunan memang best. Apatah lagi dengan peningkatan taraf dan pengemaskinian silibus dan buku teks baharu yang memperbetulkan semua kekilafan lama. Contohnya, Peruntukan susut nilai adalah kekhilafan yang terpakai bertahun-tahun lamanya sedangkan jelas dalam penggunaan sebenar perakaunan, istilah yang diguna pakai ialah SUSUT NILAI TERKUMPUL. Mulai tahun 2011, istilah inilah yang akan dipakai. Barulah best! Barulah boleh mengguna pakai ilmu yang diperolehi di universiti dahulu, tanpa keraguan.
Sebab itulah saya katakan silibus baru kali ini BEST!!!
Tetapi nak kongsi ‘RALAT’ di sini. Soalan Kajian Kes Bab 8 ada kesilapan cetakan yang amat ketara. Perhatikan soalan tersebut. Bulan yang disoal tidak sama dengan maklumat (jadual) yang diberikan. Begitu juga perkataan ‘Jumlah Tunai’, pada pandangan saya, sepatutnya diganti dengan perkataan ‘JUALAN TUNAI’, sesuai dengan pengisian topik belanjawan tunai dan varian yang direka untuk tahap SPM.
Sekadar berkongsi kegembiraan. Memang Best!

Komen Terbaru