BUKU KOLEKSI SOALAN SPM SEBENAR – SATU DILEMA

Setelah sekian lama menunggu, hanya pada 25 Mei 2009, sifu berjaya mendapatkan senaskah buku penting bertajuk ‘KOLEKSI KERTAS PEPERIKSAAN SEBENAR SPM – PRINSIP PERAKAUNANterbitan CERDIK. Agak sukar juga mendapatkan buku sedemikian di bumi SABAH bertuah ini.

Kebetulannya minggu ini masih lagi minggu peperiksaan. Oleh itu sifu gunakan kesempatan ini untuk meneliti soalan-soalan SPM tahun-tahun lepas dan jawapan cadangan yang disediakan. Di sini sifu nak maklumkan kepada anda semua yang berniat nak beli buku ini demi mendapatkan jawapan semata-mata,  LUPAKANLAH, TANGGUH DULU PEMBELIAN.

Kalau nak beli untuk koleksi Soalan sebenar semata-mata, maka dipersilakan. Jika nak beli kerana nak jawapan semata-mata sedangkan anda telahpun memiliki set soalan SPM sebenar dari kakak, kawan atau individu lain, maka anda mungkin akan alami kerugian kerana hasil semakan dan penelitian sifu, ada beberapa jawapan (tak semuanya) yang disediakan adalah TIDAK SESUAI, KURANG TEPAT MAHUPUN SALAH.*

Tapi perlu sifu tegaskan di sini, sifu tak boleh salahkan Nur Adni atau mana-mana penyedia jawapan seratus peratus. Mungkin beliau telah sediakan jawapan yang betul, tetapi semasa proses penerbitan (typesetting contohnya), mungkin pihak terbabit telah tersalah salin mengakibatkan format dan jawapan yang disediakan dalam cetakan terbaru ini TIDAK BETUL.

Adalah agak mendukacitakan, penerbit besar seperti Cerdik Publications tidak bersungguh-sungguh menjaga kualiti produk mereka. Sebenarnya kesilapan seperti ini telah berlaku sejak dahulu lagi, tetapi tidak dipernah dibetulkan. Sepatutnya ada juga individu yang berkebolehan dilantik menjadi ‘proof-reader’ dari A ke Z supaya kualiti terbitan Cerdik akan benar-benar membantu melahirkan pelajar CERDIK juga, bukan sebaliknya.

Dari aspek tanggungjawab sosial, sepatutnya pihak penerbit mengakui kesilapan cetakan atau ralat tersebut dan membuat pembetulan sepantas boleh, contohnya melalui lamanweb dan turut mengepilkan pembetulan tersebut dalam naskah yang dijual di kedai-kedai buku.

Sesiapa jua yang pernah dan masih memiliki koleksi soalan peperiksaan sebenar SPM prinsip perakaunan tahun-tahun lepas, pasti mengakui bahawa kebanyakan jawapan yang disediakan adalah SALAH SAMA SEKALI, salah sebahagian, atau kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku.

Dalam bulan JULAI 2007, saya penulis menulis satu pesanan atau nasihat di dalam tajuk Koleksi Soalan SPM sebenar dan Klon. Sebenarnya sifu turut merujuk kepada terbitan Cerdik Publication juga tetapi tidak menyatakannya secara terang-terangan. Sifu mengharapkan akan ada pihak bertanggungjawab dari kalangan penerbit dan/atau penulis jawapan itu sendiri untuk melawat tulisan tersebut dan bertindak secara sukarela membuat pembetulan walaupun kesilapan itu adalah amat kecil. Jelas sekali tiada siapa yang peduli, hehehe.

Adalah menjenuhkan setiap tahun saya terpaksa membetulkan jawapan pelajar yang teknik jawapannya ditiru (diikuti) dari jawapan cadangan yang disediakan penerbit.

Sifu khuatir jika ada pelajar yang belajar sendirian tanpa bimbingan guru (calon persendirian atau pelajar pendiam) dan YAKIN dengan buku-buku terbitan syarikat berkenaan. Bayangkan jika faktor kegagalan pelajar adalah akibat ‘tersalah ajaran’ yang berpunca dari kenaifan pelajar tersebut mengakui jawapan cadangan adalah rujukan 100% TEPAT DAN SELAMAT diikuti memandangkan logo ‘DENGAN IZIN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA’ turut dicetak di bahagian ‘cover’ terbitan tersebut. Mana-mana pelajar mahupun ibu bapa yang kurang arif dengan matlamat pemasaran produk buku seperti ini akan berpendapat bahawa jawpan ini mesti skema SPM sebenar dan ia LEBIH TEPAT, walaupun ada guru seperti kami yang mendedahkan bahawa ia ada kesilapan.

Oleh itu, adalah amat diharapkan pihak Cerdik Publication dapat meneliti produk mereka dan tidak mengulang cetak semua atau sebahagian terbitan tahun-tahun lepas TANPA saringan semula atau penelitian (proof-reading). Saya percaya majoriti guru akan gembira jika kami dan pelajar kami dapat menggunakan buku yang berkualiti, betul dan diyakini ketepatannya.

Baiklah, demi memudahkan anda mengetahui manakah bahagian jawapan cadangan yang ada kesilapan, saya senaraikannya seperti di bawah ini:

ms 129 – Jawapan Soalan 2 (b) – Sepatutnya Tolak Faedah Atas Modal (jawapan RM4230 adalah betul)

ms 133 – Jawapan Soalan 1 (Jurnal Am) – sepatutnya perkataan MODAL dijarakkan ke dalam (kesilapan minimum)

ms 134 – Jawapan Soalan 1 (lejar) – rujuk Kilang Kek Unik – item diskaun sepatutnya ditulis lengkap – DISKAUN DITERIMA. Sudah jelas diskaun ada dua – diskaun diberi dan diskaun diterima, maka perlu dibezakan.

ms 136 – Jawapan Soalan 2 (b) – sepatutnya ada petunjuk – Jualan tolak kos jualan; dengan ada perkataan TOLAK, akan membantu pelajar sederhana memahami jawapan itu- terutama jika disediakan dengan format lebih kemas.

ms 136 – Jawapan Soalan 2 (c) & 2(d) – masalah seperti di atas.

ms 137 – Jawapan Soalan 2 (e) – masalah seperti di atas. TOLAK : LIABILITI SEMASA

ms 137 – Jawapan Soalan 3 (a) – format disediakan tidak sesuai (baca : TIDAK BETUL) – sepatutnya format mesti berdasarkan urutan ini : Untung bersih + Faedah atas Ambilan – (Faedah atas modal+ gaji pekongsi) = KONGSI UNTUNG.

DISCLAIMER : Bukanlah niat saya menulis pos ini untuk memburukkan penerbit Cerdik, sebaliknya menzahirkan keprihatinan saya dan mencadangkan penyelesaiannya. Tidak mustahil ramai juga guru-guru prinsip perakaunan yang mengomel tentang hal ini tetapi tidak tahu bagaimana nak menzahirkannya. Sebagai guru prihatin, sudah tentulah saya menginginkan mana-mana buku YANG SAYA CADANGKAN UNTUK DIBELI oleh ibu bapa atau pelajar benar-benar berkualiti. Cadangan kami selalunya diikuti oleh pelajar-pelajar kami, maka saya amat berharap CERDIK dan penerbit buku lain tidak mengecewakan kami.

AKHIR KATA, JIKA ANAK MURID SAYA NAK BELI BUKU INI, BELILAH DI KEDAI BUKU BERDEKATAN. SIFU AKAN BIMBING ANDA DAN BETULKAN BAHAGIAN MANA YANG ADA KESILAPAN. TETAPI HARUS DIINGAT BAHAWA MANA-MANA BAHAGIAN JAWAPAN YANG SIFU TEGUR SEBAGAI SALAH HENDAKLAH DITERIMA SECARA SERIUS KERANA SIFU BARU SAHAJA DEDAHKAN BAHAGIAN MANA YANG TIDAK SESUAI DIJADIKAN SUMBER JAWAPAN RUJUKAN. TETAPI SUKACITA SIFU NYATAKAN JUGA 80-90% JAWAPAN YANG DISEDIAKAN DI BAHAGIAN BELAKANG NASKAH TERSEBUT ADALAH SESUAI UNTUK DIRUJUK DAN DIJADIKAN PANDUAN PELAJAR CALON SPM 2009.

————–

* Sebenarnya masalah yang sama pernah timbul dalam cetakan terdahulu yang mengandungi soalan SPM 2003 dan ke bawah, tetapi memandangkan ia tidak lagi dicetak kembali oleh Cerdik maka tidak perlulah dinyatakan di sini dengan terperinci.

About these ads

4 gerakbalas-gerakbalas

  1. نورنانا

    jawapan soalan objektif pun ada yg salah.

  2. Syarikat saya memerlukan pembantu akaun
    Kelulusan hanya sijil atau diploma dan berpengalaman di dalam mengendalikan set akaun
    menggunakan sistem ubs
    gaji RM1500 ke 1700

  3. PENGUMUMAN,
    Sifu dah siarkan/terbitkan jawapan cadangan Prinsip Perakaunan SPM 2008 di pos asal,
    http://sifu2b.wordpress.com/2009/03/05/skema-jawapan-cadangan-tak-rasmi-prinsip-perakaunan-spm-2008/

  4. [...] BUKU KOLEKSI SOALAN SPM SEBENAR – SATU DILEMA [...]

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 139 other followers

%d bloggers like this: