SELAMAT TAHUN BARU 2012 DAN PENULISAN BLOG INI BERAKHIR
Tahun 2012 kini telah tiba. Apa yang ingin saya lakukan tahun ini? Nampaknya tahun 2012 adalah tahun yang dikatakan tahun mencabar, tetapi harus ditempuhi setiap hari.
Sebagai permulaan, saya ingin memaklumkan yang saya tidak lagi aktif menulis blog ini. Kepada pengunjung yang kerap mengunjungi blog ini pasti perasan yang post terakhir adalah pada bulan Apri 2011 yang lepas. Dan ini adalah pos terbaharu setelah sekian lama mendiamkan diri.
Saya berkira-kira ingin menutup blog ini selama-lamanya. Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang pernah saya berikan dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan guru perakaunan lain yang aktif menulis dan berkongsi bahan terutamanya Cikgu Narzuki dan Cikgu Sila. Secara diam-diam saya seperti juga majoriti guru lain memuatturun bahan-bahan yang dibina atau ditulis, mahupun yang dikumpulkan oleh kedua-dua guru tersebut untuk kegunaan diri sendiri dan juga pelajar.
Jika ada pertanyaan tentang kerjaya perakaunan atau persoalan tentang subjek perakaunan, pengunjung digalakkan menulis persoalan dan permasalahan itu di blog rakan-rakan yang disebutkan tadi. Cikgu Narzuki mudah dihubungi di cgnarzuki.com manakala cikgu Sila pula di blognya, cikgusila.com. Mudah bukan.
Dengan itu, saya juga memohon kemaafan dari anda semua yang meninggalkan komen, pertanyaan dan permasalahan tetapi tidak dijawab oleh saya. Saya minta maaf banyak-banyak. Saya berharap anda tidak berputus asa, dan boleh mengajukan soalan yang sama kepada rakan-rakan guru perakaunan yang lain. Insyaallah mereka dapat memberikan bantuan sewajarnya.
Sekian terima kasih.
Soalan Tugasan 2 Kerja Kursus Prinsip Perakaunan SPM 2011
Tugasan 2 bagi projek Prinsip Perakaunan SPM 2011 telah bermula hari ini. Bagi tempoh dua bulan iaitu dari 1 April 2011 hingga 31 Mei 2011, semua calon Prinsip Perakaunan wajib menyiapkan tugasan tersebut untuk melengkapkan Kertas 3 Prinsip Perakaunan.
Untuk memuatturun soalan dan panduan (dalam format PDF), silalah layari laman sesawang rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia seperti ini.
Pelajar hanya perlu memuatturun PANDUAN PELAKSANAAN DAN PENILAIAN PROJEK dan SOALAN PROJEK TUGASAN 2.
|
|||||||||||||||||
| Last Updated ( Friday, 01 April 2011 ) | |||||||||||||||||
Kata-kata Perangsang Kendiri untuk Diri
Ayat Refleksi diri sebagai Guru
“Kita susahkan diri kerana kita nak senangkan bangsa. Kita dulu dapat manfaat dari dasar pendidikan negara masa lampau, Jika tidak masakan kita menjadi cendikiawan sekarang, walaupun hanya berjawatan guru sekolah. Usahakan supaya generasi baru sekarang dapat manfaat yang sama atau serupa, atau lebih, untuk masa depan mereka pula.”
Oleh Cikgu Rithuwan Nasir.
Buku Panduan Menyiapkan Projek Perakaunan SPM akan diterbitkan
Alhamdulillah, kali ini saya telah berjaya memberanikan diri mengorak satu lagi langkah dalam hidup. Satu anjakan paradigma barangkali. Baru sahaja dalam tiga hari ini berjaya memujuk diri untuk melakukan perkara ini. Saya juga ingin menjadi penulis buku. Sokonglah saya, okay.
Ada beberapa tema dan perkara yang boleh dijadikan asas penulisan tetapi sifu memilih untuk menulis bagaimana menyediakan tugasan satu dengan jayanya. Ada banyak perkara yang boleh disampaikan kepada pelajar semasa sesi ‘consultation’ dan adakalanya perlu secara terperinci. Adakalanya ia memerlukan saya melayan persoalan dan permasalahan seseorang pelajar lebih lama berbanding dengan pelajar yang lain. Tetapi semua orang sedia maklum, masa bertugas dan berjumpa pelajar amat terhad dan tidak cukup untuk melayan kesemua pelajar.
Cuba hayati senario ini. Bayangkan jika seseorang guru hanya mengajar 25 orang pelajar dalam satu kelas dan andaikan juga setiap seorang pelajar memerlukan perhatian atau waktu ‘consultation’ 1 jam seminggu. Ini bermakna guru tersebut perlu meluangkan masa 25 jam bagi tempoh 5 hari bekerja! Secara purata 5 jam sehari. Ia mesti dilakukan diluar waktu mengajar. Adakah guru itu boleh lakukannya? Mungkin beliau boleh dan mungkin juga tidak. Apa yang pasti, ia adalah sesuatu tugas yang sukar dipenuhi. Walaupun dengan meluangkan masa cuti hari sabtu dari pukul 9:00 pagi hingga 1:00 petang, ia masih tidak mampu memuaskan hati semua pelajar dan memberika hasil kerja terbaik. Terus terang saya katakan, keadilan sukar diberikan. Bayangkanlah pula jika ada pula guru yang perlu membimbing 30 – 40 orang pelajar atau lebih ramai dari itu.
Kekesalan memang akan wujud dalam diri mana-mana guru, tetapi itulah kenyataannya. Begitu juga dengan diri ini. Sememangnya sukar untuk meluangkan masa dari pukul 6:50 pagi hingga 1:30 petang dan disambung lagi dengan waktu ‘consultation’ sehingga ke pukul 4:00 atau 5:00 petang hampir setiap hari. Jika itulah yang berlaku memang menyukarkan kedua-dua pihak, dan dalam konteks dir ini, ia sudah jelas membelakangkan keperluan diri dan keluarga pula.
Syukurlah tidak semua pelajar bermasalah dan tidak semua pelajar memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan bimbingan guru. Bagi pelajar yang berkemahiran, 10 – 20 minit sudah memadai. Guru hanya perlu semak tugasan mereka dan menegur jika ada kesilapan atau kecacatan dalam bahagian yang ditunjukkan. Bagi pelajar yang masih bermasalah atau tidak menguasai simpan kira, maka tempoh masa ‘consulting’ akan lebih panjang. Selalunya 30 minit tidak mencukupi.
Oleh itu cabaran kepada guru seperti saya ialah bagaimana untuk mempercepatkan atau memberi bimbingan dan ‘consultation’ yang berfokus, jelas, adil dan memuaskan semua pelajar? Saya berpendapat memberikan nota dan garis panduan sudah mencukupi. Tetapi sebenarnya ia tidak mencukupi untuk pelajar-pelajar. Mereka memerlukan penerangan, kaedah dan langkah demi langkah yang tersusun. Pihak sekolah sudah pasti tidak mampu mencetak naskah terperinci bagi setiap pelajar untuk diagihkan kepada pelajar. Penyelesaiannya adalah menulis sebuah buku panduan yang lengkap dan mudah dimiliki oleh semua pelajar terbabit.
Mendapat inspirasi dari pelbagai buku di pasaran dan juga dari laman sesawang terbitbukusendiri.com serta zamrimohamad.com, maka saya memilih untuk menulis buku tersebut dan menerbitkannya untuk dipasarkan.Ya benar,sebuah buku untuk dimiliki oleh setiap pelajar prinsip perakaunan. Kertas cadangan telah disiapkan dan manuskrip buku sedang disiapkan.
Jangan fikirkan soal saya mencari wang dan menganggap ia salah. Usaha saya menulis buku dan dikomersilkan tidak salah dan tidak melanggar etika keguruan. Jika ia salah, maka sudah pastilah tidak akan ada guru yang menjadi penulis buku rujukan mahupun buku latihan yang banyak di dalam pasaran. Sebaliknya, fikirkan bahawa saya telah menzahirkan idea, kaedah dan pendekatan yang digunakan sepanjang membimbing pelajar untuk diikuti oleh pelajar-pelajar baru. Fikirkan tentang nilai intelektual yang akan diluahkan dalam buku tersebut. Memang diakui, ada juga idea yang ditulis tidak pernah digunakan sebelum ini tetapi ia timbul semasa merancang manuskrip buku tersebut.
Secara tidak langsung motivasi saya menulis telah menjadikan saya berfikir lebih kritis dan kreatif. Pengalaman yang lepas menjadi asas kepada usaha saya mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah yang melbiatkan pelajar dan guru. Apa yang pasti, sebahagian besar buku yang bakal terbit itu adalah asli dari pemikiran dan idea asal penulis. Ia bukanlah buku kompilasi semata-mata. Jika berbanding nilai buku yang akan diterbitkan itu, ia adalah amat murah berbanding mendapatkan bimbingan tuisyen luar.
Pengalaman telah mengajar ketika menulis ebook pertama bahawa pengisian langkah demi langkah boleh membantu pelajar. Setakat ke hari ini, ia telah dimuatturun sebanyak 645 kali. Ebook lain juga ada saya tulis sebelum ini. Ini termasuklah fail PDF dalam kategori Modul Latihan Kendiri; Simulasi Kitaran Perakaunan SPM yang telah dimuatturun sehingga mencecah 1542 kali ataupun skema jawapan cadangan soalan percubaan MRSM 2007 yang saya sediakan (muatturun sehingga 2472 kali).
Ini membuktikan bahawa pelajar memerlukan bahan bacaan yang boleh membantu mereka. Itulah yang cuba saya lakukan dengan menulis buku tersebut, yang pada dasarnya diberi tajuk “PANDUAN MENYIAPKAN KERJA PROJEK PRINSIP PERAKAUNAN SPM”. Dengan buku ini, pelajar akan mendapat bimbingan guru sepanjang waktu, 24 jam 7 hari seminggu. Apa yang diperlukan adalah hanya membaca langkah demi langkah bagaimana projek Prinsip Perakaunan di sediakan.
jika anda bersetuju dan berminat untuk mendapatkannya nanti, sila hantar email ke bukurithuwannasir@gmail.com dengan tajuk emel “MINAT BELI BUKU PANDUAN PROJEK PRINSIP PERAKAUNAN (TUGASAN 1)“. Nyatakan emel anda, tingkatan, nama sekolah dan kaedah pembayaran yang anda sedia gunakan. Jenis buku yang diinginkan – fizikal buku atau ebook. Sasaran buku ini adalah untuk pelajar Tingkatan 4 tahun 2011. Sasaran penerbitan buku fizikal adalah seawal bulan Mei dan tidak lewat dari bulan Julai, insyaallah. Namun begitu, ia juga amat tertakluk kepada kesesuaian penerbitan kelak yang bersetuju menerbitkannya.
INGAT : PENJUALAN BELUM DIBUKA. PEMBAYARAN PENDAHULUAN BELUM DAN TIDAK DITERIMA SEHINGGA DIBERITAHU KELAK.
INI ADALAH KAJIAN AWAL PEMASARAN.
Anda bebas memberi respons atau tidak memberi respons. Selain menghantar emel ke alamat di atas, jika anda menyukai Post ini, sudikanlah mengklik butang ‘LIKES’ sebagai tanda sokongan anda.
Semoga dengan usaha saya menulis buku ini dapat melegakan sedikit sebanyak beban guru menerangkan lagi dan lagi kepada pelajar-pelajarnya dan pada masa yang sama memberi manfaat menyeluruh kepada pembaca buku yang bakal terbit ini.
RITHUWAN BIN NASIR
GURU PRINSIP PERAKAUNAN (DG44)
15hb. Mac, 2011
Kata kunci : kertas 3 prinsip akaun, kertas 3 prinsip perakaunan, tugasan 1 prinsip akaun, tugasan 1 prinsip perakaunan, tugasan 2 prinsip akaun, tugasan 2 prinsip perakaunan, kertas projek prinsip akaun, projek akaun, k3 akaun, panduan menyiapkan prinsip akaun, tip siap projek akaun, buku prinsip akaun, langkah demi langkah akaun spm, cikgu rithuwan nasir, kertas prinsip akaun spm
Tarikh Pengumuman Menerima Slip Keputusan SPM 2010
Dengan kuasa yang tiada pada saya, turut mengumumkan bahawa tarikh menerima slip keputusan SPM 2010 jatuh pada 23 haribulan Mac 2010 bersamaan dengan hari Rabu.
Sekian terima kasih.
Syarat Masuk ke Ijazah Perakaunan di IPTA negara
UNIVERSITI DARUL IMAN MALAYSIA (UDM)
PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERAKAUNAN DENGAN KEPUJIAN
Tempoh Pengajian : 8 semester
SYARAT KEMASUKAN
KELAYAKAN STPM
Syarat Am :
1. Lulus SPM / Setaraf dengan baik;
2. Lulus dengan Kepujian dalam Bahasa Melayu / Bahasa Malaysia di peringkat SPM / Setaraf;
3. Lulus peperiksaan STPM dengan sekurang-kurangnya:
i. Gred C (NGMP 2.00) mata pelajaran Pengajian Am;
ii. Gred C (NGMP 2.00) dua (2) mata pelajaran lain;
4. Telah mengambil Malaysian University English Test (MUET) dengan mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1).
Keperluan Khas Program1. Mendapat kepujian sekurang-kurangnya dalam LIMA mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan mana-mana kombinasi daripada mata pelajaran berikut di peringkat SPM:
a. Matematik / Matematik Tambahan
b. Perakaunan / Ekonomi Asas / Perdagangan / Sains
2. Lulus dalam Bahasa Inggeris di peringkat SPM
3. Lulus sekurang-kurangnya Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu / Kesusasteraan Melayu di peringkat STPM;
4. Lulus sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan / Ekonomi / Perakaunan di peringkat STPM.
KELAYAKAN MATRIKULASI
Syarat Am :
1. Lulus SPM / Setaraf dengan baik;
2. Lulus dengan Kepujian dalam Bahasa Melayu / Bahasa Malaysia di peringkat SPM/Setaraf;
3. Lulus Matrikulasi KPM dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00; dan
4. Telah mengambil Malaysian University English Test (MUET) dengan mendapat sekurang
kurangnya Tahap 1 (Band 1).
Keperluan Khas Program
1. Mendapat kepujian sekurang-kurangnya dalam LIMA mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan mana-mana kombinasi daripada mata pelajaran berikut di peringkat SPM:
a. Matematik / Matematik Tambahan
b. Perakaunan / Ekonomi Asas / Perdagangan / Sains
2. Lulus dalam Bahasa Inggeris diperingkat SPM
ipta lain akan datang – dlaam proses pencarian
Mengajar Silibus baru Prinsip Perakaunan SPM Best
Buku teks baharu subjek Prinsip Perakaunan hanya tiba dalam bulan Disember 2010 (setakat yang saya dimaklumkan) dan tak sempat diedarkan terlebih awal kepada pelajar-pelajar Prinsip Perakaunan tahun lalu (tingkatan empat). Sebagai guru, saya tercari-cari buku tersebut di kedai-kedai buku tetapi hampa. Cadangan nak membaca terlebih dahulu buku tersebut sewaktu cuti sekolah terkubur.
Akhirnya pada minggu pertama, lebih tepat lagi hari rabu, 5 Januari 2011, dengan campur tangan ketua panitia prinsip perakaunan, maka dapatlah buku teks baharu tersebut dipinjamkan kepada pelajar tingkatan 5 yang mengambil Prinsip Perakaunan SPM 2011 ini. Buku lama dikembalikan dan digantikan dengan buku baharu tersebut.
Setakat ke hari ini, saya telah mengajar selesai mengajar bab 8, yang melibatkan kemahiran penyediaan Penyata Penyesuaian Bank dan Belanjawan Tunai berserta Varian. Dalam bab ini, topik pengiraan varian adalah yang pengisian terbaru. Tetapi ia masih mudah kerana ia hanya melibatkan pengiraan perbezaan antara angka belanjawan dengan angka sebenar yang sedia diberikan. Selepas itu penetapan sama ada ia adalah positif/memuaskan ataupun negatif/tidak memuaskan. Pentafsiran atau penerangan lanjutan tidak diperlukan. Menarik!
Bab 9 di mana akan dimulai minggu hadapan melibatkan bab baru keseluruhannya iaitu Perakaunan untuk Penggajian. Ini merupakan bab yang menyeronokkan. Guru mestilah membaca dahulu keseluruhan bab ini. Saya sendiri menggalakkan rakan-rakan guru supaya mencuba menjawab soalan-soalan tersebut terlebih dahulu agar tidak kalut di dalam kelas nanti.
Apa yang bestnya mengajar silibus baru Prinsip Perakaunan ni? Kepada saya apa-apa yang berkaitan perakaunan memang best. Apatah lagi dengan peningkatan taraf dan pengemaskinian silibus dan buku teks baharu yang memperbetulkan semua kekilafan lama. Contohnya, Peruntukan susut nilai adalah kekhilafan yang terpakai bertahun-tahun lamanya sedangkan jelas dalam penggunaan sebenar perakaunan, istilah yang diguna pakai ialah SUSUT NILAI TERKUMPUL. Mulai tahun 2011, istilah inilah yang akan dipakai. Barulah best! Barulah boleh mengguna pakai ilmu yang diperolehi di universiti dahulu, tanpa keraguan.
Sebab itulah saya katakan silibus baru kali ini BEST!!!
Tetapi nak kongsi ‘RALAT’ di sini. Soalan Kajian Kes Bab 8 ada kesilapan cetakan yang amat ketara. Perhatikan soalan tersebut. Bulan yang disoal tidak sama dengan maklumat (jadual) yang diberikan. Begitu juga perkataan ‘Jumlah Tunai’, pada pandangan saya, sepatutnya diganti dengan perkataan ‘JUALAN TUNAI’, sesuai dengan pengisian topik belanjawan tunai dan varian yang direka untuk tahap SPM.
Sekadar berkongsi kegembiraan. Memang Best!
Memperdanakan Program Diploma sebagai pilihan utama lepasan SPM 2010
Diploma perkasa
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
2011/01/15
148,500 tempat untuk lepasan SPM di IPTA
KUALA TERENGGANU: Program peringkat diploma yang sebelum ini dilihat sebagai pilihan kedua atau ketiga akan diperkasakan supaya menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara bagi melahirkan modal insan berkualiti.
Berikutan itu, katanya, tempoh pengajian program diploma akan dipendekkan tidak melebihi dua setengah tahun berbanding tiga tahun ketika ini, selain menggalakkan pelajar mengikuti diploma di Politeknik yang menawarkan yuran pengajian jauh lebih rendah iaitu anggaran RM400 setahun, berbanding hampir RM1,000 setahun di universiti awam.
Kementerian mahu pelajar lepasan SPM tidak hanya bertumpu kepada program matrikulasi dan asasi sains, tetapi juga menjadikan program diploma sebagai pilihan utama mereka.
Kementerian akan berusaha memartabatkan diploma menerusi pengiktirafan badan profesional dalam dan luar negara, manakala graduannya diiktiraf pada peringkat antarabangsa, katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U kali ketujuh di Pusat Dagangan Terengganu di sini, semalam. Karnival dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau turut mengumumkan 148,500 tempat untuk kemasukan lepasan SPM atau setaraf di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini. Daripada jumlah itu, 14,000 tempat untuk program asasi di IPTA, diploma IPTA (34,000), diploma politeknik (51,000), sijil di kolej komuniti (11,000) serta sijil di institut latihan kemahiran awam (ILKA) sebanyak 38,500.
Katanya, jumlah itu daripada 469,500 tempat secara keseluruhan yang disediakan, selain di IPT swasta (IPTS) dan peluang pendidikan lanjutan lain seperti Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Kementerian Pelajaran serta Program Persediaan ke Luar Negara secara tajaan.
Mohamed Khaled berkata, kementerian juga sedang mengkaji beberapa cadangan pelaksanaan bersesuaian, termasuk menambah program diploma yang baru di IPTA dan politeknik.
Program diploma menawarkan fleksibiliti kepada pelajar kerana selepas menamatkan pengajian, mereka mempunyai pilihan sama ada menyambung ke peringkat lebih tinggi atau terus bekerja. Pelajar yang mempunyai diploma juga ada kelebihan kerana mereka diberi laluan khas untuk menyambung pengajian di universiti teknikal (MTUN), katanya.
Katanya, langkah memperkasakan program diploma juga dapat menyediakan graduan berkelayakan untuk memenuhi program kemahiran dan teknikal di universiti teknikal serta meluaskan kebolehpasaran graduan diploma kemahiran dan teknikal selaras matlamat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Karnival Jom Masuk U tahun ini untuk pertama kalinya menawarkan program sijil dan sijil lanjutan. Ini berikutan Kementerian Pengajian Tinggi sudah diberi mandat untuk mengendalikan Pusat Pengambilan Setempat bagi program sijil dan sijil lanjutan, di samping diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan 27 Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau TEVT serta ILKA, katanya.
[sumber berita : Berita Harian online - 15/1/2011 di sini]





Komen Terbaru